suria

Karpal Singh Cuba Sembunyikan Fakta Hubungan PAS-DAP: Mohd Fuad

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zarkashi berkata Pengerusi DAP Karpal Singh cuba menyembunyikan fakta bahawa hubungan antara parti itu dengan PAS semakin retak.

Katanya kenyataan Karpal Singh kononnya tiada anggota PAS yang terbabit dalam demostrasi di hadapan pejabatnya pada 22 Januari lepas sebenarnya mahukan PAS bersetuju dengan pendirian DAP untuk menggunakan kalimah Allah di dalam Bible bahasa Melayu.

"Saya juga ingin cabar PAS untuk membuat penafian bahawa yang terlibat dengan demo itu bukan anggota PAS. PAS perlu jawab ini, sekiranya mereka menafikannya, memang mereka takut dengan Karpal Singh dan DAP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar keibubapaan mengenai 'Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT)' di Politeknik Permatang Pauh di sini, Khamis.

Pada 22 Januari lepas, sekumpulan penyokong dan anggota PAS berkumpul di hadapan pejabat guaman Karpal Singh & Co, Jalan Green Hall, George Town bagi membantah campur tangan Karpal Singh dalam isu Kalimah Allah.

Demostrasi yang diketuai bekas ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Hafiz Nordin itu mendesak agar umat Islam tidak lagi menyokong DAP kerana pemimpinnya tidak menghormati keputusan Majlis Syura PAS yang turut membantah penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Isu penggunaan kalimah Allah itu dicetuskan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mahukan kerajaan pusat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Mohd Puad juga mahu Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menjelaskan kehadirannya pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-82 di kediaman Karpal Singh pada 27 Januari sedangkan kedua-dua parti sudah tidak sependapat dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. BERNAMA

Artikel Lain