suria

Pekerja Syarikat Makanan Segera Didakwa Curi Wang RM8,221

PETALING JAYA: Seorang pekerja syarikat makanan segera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri wang tunai RM8,221.80 pada 19 Nov lepas.

Hairul Sani Mardi, 29, dari Tawau, Sabah, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa mencuri wang majikannya di restoran itu di Pusat Bandar Puchong dekat sini antara 5.35 petang dan 5.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jan depan untuk sebutan.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

Di Mahkamah Sesyen di sini, seorang jurujual di sebuah kedai menjual cakera padat digital mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan pecah amanah hasil jualan harian kedai itu sebanyak RM7,505 pada 19 Nov lepas.

Yap Kah Chun, 30, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nakamichi Entertainment dengan tidak menyerahkan wang hasil jualan kepada pihak syarikat dan menggunakan harta tersebut untuk kegunaan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di di sebuah premis di Paramount Garden Sea Park, di sini pada 4 Nov tahun ini hingga 19 Nov lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jan depan untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain