suria

Marygrace buka bengkel cat kereta di Sabah, tidak lupa hasrat bawa keluarga tunai umrah

Marygrace berkongsi wang kemenangannya bersama keluarga.

SELEPAS bergelar juara program realiti One In A Million (OIAM), penyanyi Marygrace mendedahkan wang kemenangan yang diterima dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi pelaburan perniagaan demi masa depan keluarga.

Marygrace atau Marygrace Jane Penserga, 24, berkata sebahagian daripada wang tersebut digunakan untuk membuka sebuah bengkel cat kereta di Kota Kinabalu, Sabah, hasil perkongsian perniagaan bersama seorang rakan.

Selain itu, penyanyi kelahiran Keningau, Sabah itu turut memberitahu dia telah membeli sebidang tanah dan kini sedang berusaha untuk mendirikan sebuah rumah buat keluarga.

Marygrace menggunakan wang kemenangan di OIAM dengan baik.

“Duit kemenangan yang saya dapat digunakan untuk membuka perniagaan bengkel cat kereta di Sabah, iaitu perniagaan yang diusahakan bersama rakan saya.

“Saya juga ada membeli tanah yang diuruskan oleh keluarga. Saya mahu membina rumah. Insya-Allah, perlahan-lahan saya akan usahakan,” katanya kepada mStar.

Marygrace berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi minum petang bersama penyanyi Kai Deva yang diadakan di Lado Restaurant, Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Marygrace juara OIAM, bawa pulang hadiah wang tunai setengah juta

ARTIKEL BERKAITAN: Langsung tak fikir diri sendiri, Marygrace mahu guna hadiah wang RM500,000 realisasi impian ibu

Dalam pada itu, dia tidak melupakan hasrat utamanya untuk membawa keluarga menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah.

“Saya juga sedang merancang untuk menunaikan umrah bersama keluarga. Insya-Allah, tahun depan saya akan membawa satu keluarga ke sana.

“Mungkin bersama makcik juga, tetapi yang penting saya, ibu dan adik akan menunaikan ibadah umrah bersama,” ujarnya.

Saya juga ada membeli tanah yang diuruskan oleh keluarga. Saya mahu membina rumah.

MARYGRACE

JUARA OIAM

Berkongsi perkembangan kerjaya, Marygrace berkata perjalanan seninya semakin positif selepas menjuarai OIAM.

Tambahnya, lagu berjudul Langit Tak Menjawab kini dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama, selain aktif menerima jemputan persembahan.

“Selepas tamat program OIAM, Alhamdulillah kerjaya saya semakin baik. Saya sedang berusaha untuk membuat orang lebih mengenali saya melalui lagu-lagu baharu yang dilancarkan.

Marygrace dalam perancangan untuk menaikkan namanya agar dikenali ramai.

“Saya juga aktif memenuhi jemputan acara nyanyian dan untuk perancangan masa hadapan, saya mungkin akan mengadakan showcase di Sabah bagi membuka laluan kerjaya seni di sana,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Marygrace muncul sebagai juara OIAM yang berlangsung di Glenmarie, Shah Alam.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Marygrace membawa pulang wang tunai RM500,000 berserta sebuah kereta Peugeot 208 GT dan kontrak rakaman bersama Alternate Records.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain