KEHADIRAN dua pelakon, Diana Danielle dan Amelia Henderson nyata membawa sinar keceriaan buat penghuni Rumah Hope, Petaling Jaya, Selangor, apabila sanggup turun padang menyantuni kanak-kanak serta remaja di rumah kebajikan itu sempena sambutan Krismas pada Selasa.
Lebih manis, kunjungan penuh kasih sayang itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (TSK) Signature International Berhad (Signature) menerusi program komuniti Signature Cares yang tampil dengan misi murni menaik taraf ruang kediaman Rumah Hope agar lebih selesa dan selamat.
Sebagai Duta selebriti Signature, Diana dilihat tidak kekok meluangkan masa bermain, berbual dan berkongsi gelak tawa bersama kanak-kanak, sekali gus mencipta detik bermakna yang sukar dilupakan oleh mereka.

Diana dan Amelia bawa keceriaan kepada kanak-kanak di Rumah Hope.
Sementara itu, Amelia, selaku duta jenama itu turut mencuri perhatian apabila tampil mesra dengan menyantuni para penghuni Rumah Hope sambil menyampaikan mesej kasih sayang serta menekankan kepentingan kesejahteraan emosi dalam kehidupan seharian.
Inisiatif Signature Cares itu tidak hanya tertumpu kepada pengubahsuaian ruang kediaman serta penyediaan kelengkapan baharu, malah merangkumi pendekatan holistik demi kesejahteraan kanak-kanak.
Antara sumbangan yang diberikan termasuk tilam, cadar, tuala, langsir, perabot serta perkakas elektrik bagi meningkatkan kualiti kehidupan harian 50 penghuni Rumah Hope.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Lau Kock Sang, berkata pemilihan Rumah Hope dibuat selepas pihaknya tersentuh dengan ketabahan kanak-kanak serta dedikasi para penjaga yang selama ini berusaha menyediakan persekitaran terbaik walaupun berdepan kekangan.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Muat naik video bersama lelaki, Diana Danielle belum sedia komen… “Nanti saya umum kalau sudah tiba waktu”
ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin ada hubungan yang tak begitu baik, jadi saya nak cuba perbetulkan” - Diana Danielle
“Kami melihat keperluan untuk menghias semula ruang tidur agar lebih tersusun, selesa dan memberikan privasi.
"Rehat yang berkualiti sangat penting dalam menyokong kesejahteraan emosi dan keyakinan kanak-kanak,” katanya.
Pengetua Rumah Hope, Edwin Roch, turut merakamkan penghargaan kepada Signature atas sumbangan yang disifatkan sebagai amat bermakna dan sejajar dengan misi Rumah Hope dalam membentuk insan muda yang berdaya tahan serta positif.

Lau Kock Sang mahu kanak-kanak di Rumah Hope tinggal di sana dengan selesa.
Selain itu, Signature turut bekerjasama dengan Children’s Protection Society (CPS) dan Makchic bagi memperkenalkan pendidikan keselamatan serta aktiviti pemerkasaan emosi melalui pendekatan penceritaan kanak-kanak, menjadikan program itu lebih menyeluruh.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan sokongan rakan komuniti Signature serta sumbangan ikhlas daripada pelbagai pihak yang sama-sama berkongsi aspirasi untuk membina persekitaran lebih baik buat kanak-kanak kurang bernasib baik.
Inisiatif ini juga menandakan pengenalan identiti baharu Signature Cares, sebuah platform bersepadu yang berteraskan empat tunjang utama termasuk pemerkasaan komuniti, kelestarian alam sekitar, kesejahteraan jangka panjang kanak-kanak serta kerjasama dengan NGO dan jenama tempatan.
Dengan sokongan selebriti seperti Diana dan Amelia, usaha murni Signature ini bukan sahaja menyentuh ruang fizikal, malah menyentuh hati dan meninggalkan kenangan manis serta harapan baharu buat warga Rumah Hope.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


