suria

Universiti Ketawa...

Madan Kataria -fotoAFP
Madan Kataria -fotoAFP
Madan Kataria -fotoAFP

PENULIS tidak pasti sama ada hendak ketawa atau apa, apabila terbaca kisah bagaimana di India, seorang guru yoga bernama Madan Kataria akan membina Universiti Ketawa iaitu yang pertama seumpamanya di dunia.

Khabarnya universiti itu akan dibina di Bangalore, selatan India di atas kawasan yang didermakan oleh seorang kontraktor binaan.

Sudah pasti, kontraktor tersebut telah memperolehi manfaat daripada senaman ketawa yang diamalkannya setiap hari. Jika tidak, masakan dia sanggup menderma sebidang kawasan untuk tujuan pembinaan Universiti Ketawa itu.

Yang lebih mencuit hati ialah nama pengasas universiti ini iaitu 'Kataria' dalam bahasa Melayu membawa maksud 'percakapan yang membawa kegembiraan' - seolah-olah usahanya itu didorong oleh namanya sendiri.

Kataria yang berusia 58 tahun kini menjadi sebutan di seluruh India malah dia menjadi inspirasi penubuhan beribu Kelab Ketawa bukan sahaja di negaranya sendiri tetapi juga di seluruh dunia.

Dia sendiri adalah pengendali dan pentadbir Institut Yoga Ketawa iaitu sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan di Mumbai.

Kata Kataria, untuk kekal sihat sepanjang hayat, seseorang itu perlu ketawa dengan kuat selama 15 hingga 20 minit sehari.

Penulis kini ternanti-nanti apakah bentuk silibus dan ko-kurikulum yang akan disenaraikan dan digunapakai di universiti itu.

Apakah para pelajarnya nanti akan diwajibkan ketawa sepanjang hari sebagai sebahagian daripada latihan amali mereka.

Apakah bentuk pengajian yang akan mereka pelajari kelak? Mungkin tentang sains ketawa. Mungkin juga tentang seni ketawa.

Dan para graduannya nanti akan dianugerahkan ijazah sarjana muda apa? Mungkin sarjana muda sains ketawa atau ijazah sarjana muda seni ketawa.

Mungkin pada akhirnya pemegang ijazah ini berkemampuan menjadi mediator atau orang tengah atau duta khas dalam apa jua konflik antarabangsa mahu pun tempatan kerana kemampuan mereka untuk membuat atau menganjurkan orang lain ketawa.

Jika sudah ketawa, mana mungkin wujud konflik atau perbalahan.

Dalam dunia yang serba berbalah dan berbunuh-bunuhan ini (sepertimana yang sedang berlaku di Iraq, Afghanistan dan Pakistan), mungkin Universiti Ketawa adalah jawapan kepada perdamaian dan keharmonian hidup. Siapa tahu...

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain