suria

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

KUALA LUMPUR: Umno yang komited memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera tidak pernah meminggirkan kaum lain malah agenda pembangunan turut merangkumi semua kaum, termasuk kaum minoriti di Sabah dan Sarawak, kata pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Jumaat.

Menurut mereka Umno yang menjadi parti tunjang BN sentiasa memastikan segala program bantuan dan pertolongan yang dilaksana kerajaan turut dinikmati semua kaum di negara ini.

Naib Pengerusi MCA Datuk Donald Lim Siang Chai berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja berusaha menggerakkan transformasi ekonomi semua kaum tetapi juga menjaga kebajikan dan kepentingan tanpa mengira kaum.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata ini termasuk pemberian pelbagai inisiatif kepada golongan berpendapatan rendah seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan baucar buku kepada penuntut institusi pengajian tinggi untuk meringankan beban mereka.

"Setelah 55 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat semua kaum di negara ini mengecapi dan menikmati kemajuan di bawah kerajaan pimpinan BN," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Anggota Parlimen Kapit, Sarawak Datuk Alexandar Nanta Linggi berkata walaupun di Sarawak tiada Umno, BN di bawah kepimpinan Najib memberi peruntukan dan menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur untuk dinikmati penduduk Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

"Perdana menteri sentiasa mempergiatkan usaha untuk membangunkan Sarawak, khususnya di luar bandar termasuk pembinaan jalan, penyediakan bekalan air dan elektrik," katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas pula berkata Umno, walaupun sebuah parti yang ditubuh untuk memperjuangkan orang Melayu, ia tidak pernah meminggir atau mengabaikan nasib kaum lain.

"Umno bekerjasama dengan kaum lain untuk bangunkan negara. Kita ada menteri Cina, India, Iban dan dari kaum-kaum lain di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof berkata masyarakat di Sarawak menikmat perubahan dan transformasi yang dibawa perdana menteri.

"Dari segi transformasi kerajaan, pembangunan infrastruktur tidak dipinggirkan oleh perdana menteri malah terus-menerus melakukannya untuk memajukan kaum bumiputera di Sarawak.

"Walaupun beliau presiden Umno, kaum bumiputera di Sarawak sudah merasai perubahan dan transformasi yang dibawa oleh beliau," katanya.

Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng berkata perdana menteri telah melaksanakan apa yang dijanjikan beliau dalam menjaga kepentingan semua masyarakat pelbagai kaum terutama dalam membasmi kemiskinan di negara ini.

"Perdana menteri sebagai pemimpin Umno tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum walaupun partinya memperjuangkan kepentingan Melayu. Namun apa yang dapat kita lihat dalam ucapan dasar presiden Umno semalam, beliau sekali lagi memberi jaminan bahawa parti itu sentiasa menjaga semua kaum di negara ini.

"Maka adalah wajar bagi kami sebagai parti komponen BN untuk berganding bahu bersama-sama mempertahankan Putrajaya agar terdapat kesinambungan yang mampu memakmurkan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim pula menyifatkan Umno sebagai sebuah parti yang terkehadapan dalam memperjuangkan kaum lain berbanding parti lain termasuk DAP dan PAS.

Jahid, yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata Umno tidak pernah meminggirkan mana-mana suku kaum, malah sentiasa menganggap kaum lain seperti Kadazan, Dusun dan Murut yang ada di Sabah sebagai rakan kongsi.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata Umno lebih inklusif dalam pelaksanaan agenda pembangunan negara. BERNAMA

Artikel Lain