suria

Adun BN S'gor Keluar Dewan Kerana Speaker Berat Sebelah

SHAH ALAM: Seramai 13 Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari Barisan Nasional (BN) keluar dewan hari ini kerana membantah tindakan Speaker Datuk Teng Chang Kim, yang mereka anggap sebagai berat sebelah.

Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Mohd Satim (BN-Batang Kali) berkata Teng meluluskan usul mengikut Peraturan Tetap 27 (3) yang mengambil ketetapan untuk mendenda Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN-Batang Kali) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sopan.

"Speaker telah meluluskan supaya Adun Batang Kali didenda RM1,000 selepas dikurangkan dari RM5,000, yang akan dipotong dari Elaun Khas Anggota Dewan Undangan Negeri.

"Denda ini dikenakan ke atas Datuk Mohd Isa berikutan beliau telah mengeluarkan kenyataan seksis terhadap Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong semasa sesi penggulungan pada sidang DUN 22 Nov lepas yang berbunyi 'jangan sampai terlupa jaga hutan kita sendiri,'" katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kenyataan Mohd Isa itu telah disalah tafsir oleh Adun Pakatan Rakyat.

"Jaga hutan kita sendiri itu merujuk kepada 'jagalah hutan simpan negara kita'... saya tidak tahu di mana salahnya kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Batang Kali tersebut.

"Jika benar Adun berkenaan mengeluarkan kenyataan tidak sopan, Dewan tidak perlu mengurangkan denda dari RM5,000 kepada RM1,000 yang mana diusulkan oleh Gan Pei Nie (PKR-Rawang)," katanya.

Turut bertindak keluar dewan ialah Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong), Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baharu) dan Badrul Hisham Abdullah (BN-Pelabuhan Klang).

Sementara itu, Mohd Isa menyifatkan tindakan yang diambil ke atasnya hanyalah untuk memburukkan imej Adun BN Selangor.

"Saya tidak nampak saya telah melanggar peraturan dewan. Kenyataan saya hanyalah secara umum, mungkin ada anggota dari Pakatan Rakyat terasa seolah-olah saya memburukkannya," katanya.

Persidangan Dewan berakhir pada Jumaat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain