suria

200 Rakyat Malaysia Dijangka Sertai Konvoi Misi Solidariti Gaza Disember Ini

SHAH ALAM: Aman Palestin Bhd menyasarkan 200 rakyat Malaysia, termasuk anggota badan bukan kerajaan (NGO) itu, menyertai konvoi Misi Solidariti Gaza pada 7 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut berkata, konvoi lima hari sehingga 12 Disember itu akan turut disertai ahli politik, seniman, tokoh masyarakat dan atlet yang mewakili seluruh lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan seluruh rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin.

"Misi ini bertujuan menyatakan solidariti dan sokongan moral seluruh rakyat Malaysia kepada mangsa serangan Israel di Palestin, selain menyatakan sokongan hak rakyat terhadap negara mereka dalam krisis Palestin-Israel," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata, anggota misi itu juga akan melawat hospital, mangsa yang kehilangan ketua keluarga dan anak yatim untuk melihat keperluan asasi mereka.

Awang Suffian berkata, sejak Aman Palestin beroperasi pada 2004, dana sejumlah RM12 juta telah dihantar ke Palestin, termasuk RM4 juta tahun ini.

"Kita jangkakan dana bantuan sebanyak RM7 juta, iaitu tambahan RM3 juta lagi dapat dikutip sehingga hujung tahun ini untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau juga mengajak lebih ramai individu, NGO, parti politik atau mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang, tampil menyertai rombongan Misi Solidariti Gaza pada kali ini.

"Penyertaan masih dibuka kepada yang berminat sehingga 30 November ini, dan untuk maklumat lanjut boleh ke laman web www.amanpalestin.net," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain