suria

Hak Tanah Adat Prioriti Utama Kerajaan Sabah - Musa Aman

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri serius menguruskan hak pemilikan Tanah Hak Adat Negeri (NCR) sebagai prioriti bagi memelihara kepentingan orang asal Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Saya secara peribadi akan memastikan prinsip ini,iaitu menjaga, memelihara dan melindungi kepentingan hak-hak orang asal, akan sentiasa didahulukan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Nilwan Kabang (Umno-Kunak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata jumlah keseluruhan keluasan tanah kerajaan yang diperuntuk kepada anak negeri Sabah melalui lima kaedah sama ada dalam bentuk hakmilik tanah Native Title (NT), ekuiti dan pewartaan adalah seluas 890,626.47 hektar atau 45 peratus daripada keluasan tanah kerajaan yang telah diberimilik di Sabah.

"Keluasan ini lebih besar daripada keluasan negeri Selangor Darul Ehsan yang berukuran seluas 795,600.00 hektar sahaja. Dengan pencapaian tersebut, adalah jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri serius untuk meningkatkan pemilikan tanah oleh anak negeri Sabah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pada tahun lepas, sebanyak 17,501 permohonan tanah diproses dan 6,872 permohonan telah disokong untuk diluluskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC).

"Daripada sebanyak 6,872 permohonan tanah yang disokong untuk kelulusan, sebanyak 6,218 terdiri daripada permohonan tanah bersyarat NT oleh anak negeri.

Sehingga bulan Ogos 2012, sebanyak 35,350 permohonan tanah telah diproses dan sebanyak 10,540 permohonan disokong untuk diluluskan.

Musa berkata tuntutan NCR masih boleh dikemukakan di bawah Seksyen 14 kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) walaupun Ordinan Tanah Sabah telah digubal pada 13 Dis 1930 dan dalam masa yang sama kerajaan negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan pemilikan hartanah oleh Anak Negeri melalui kaedah lain yang lebih mudah dan berkesan.

Katanya sehingga Disember 2011, kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah mendaftar sebanyak 348,652 hak milik tanah dan daripada jumlah itu, sebanyak 190,452 adalah hakmilik NT yang diberikan kepada anak negeri.

"Jumlah keseluruhan keluasan tanah yang telah diberi hak milik ialah seluas 1,970,961 hektar dan daripada jumlah itu, seluas 487,680 hektar adalah keluasan bagi hak milik tanah NT. Jumlah ini merupakan 24.7 peratus daripada jumlah keluasan hak milik tanah yang didaftar di Sabah," katanya.

Musa turut mengarahkan pihak Jabatan Perhutanan supaya menghentikan serta merta proses persempadanan baru kawasan hutan simpan di beberapa kawasan yang didiami dan diusahakan oleh penduduk bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap statusnya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga merancang mengeluarkan geran komunal di kawasan seperti Kota Marudu (6,800 hektar), Pitas (4,000 hektar), Tongod (6,000 hektar) dan Semporna (Hutan Simpan Mount Pock dan Tanjung Nagas) seluas 2,047 hektar.

Katanya, kerajaan negeri melalui persidangan DUN pada 2010 telah membubarkan seluas 24,563 hektar daripada Hutan Simpan Sook Plain dan Mandalom secara gantian dengan tanah kerajaan bagi membolehkan beberapa geran komunal dikeluarkan.

"Sehingga bulan Disember 2011, seluas 36,486.43 hektar telah dan sedang dibangunkan dengan ladang pertanian secara perkongsian pintar di antara agensi kerajaan dan anak negeri," katanya.

Musa juga berkata sejak tahun 2000, terdapat 41 kes tuntutan NCR melibatkan 1,243 penuntut Anak Negeri yang difailkan di mahkamah. Hanya empat tuntutan dibenarkan oleh mahkamah yang melibatkan 17 orang penuntut, manakala lima kes lagi memilih untuk berunding.

Kerajaan negeri berjanji akan mempercepat proses siasatan terhadap kes yang difailkan dengan menggunakan Unit Bergerak Anak Negeri (PANTAS) terutama di kawasan luar bandar mengikut undang-undang Ordinan Tanah Sabah, katanya.

Musa turut mengingatkan bahawa isu NCR ini tidak seharusnya dimanipulasi kerana ia menyentuh kepentingan orang asal yang wajar disokong oleh setiap pihak. -BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain