suria

Ahli Sabotaj Parti Akan Dipecat – Dr Chua

KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli parti yang mensabotaj parti ketika pilihan raya umum akan dipecat, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata jawatankuasa pusat parti telah memutuskan sesiapa sahaja yang mensabotaj parti akan dipecat.

"Tidak ada ruang dan masa lagi untuk anasir-anasir sabotaj mengambil tempat dalam parti. Amanat kepada semua ahli MCA, mulai detik ini kita hanya patut bercakap dan berfikir tentang bagaimana untuk mengalahkan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya setiap hari.

"Agenda, fokus dan matlamat utama memperkuatkan MCA dan segala cara untuk mengalahkan PR dalam pilihan raya akan datang sepatutnya menjadi mantera harian semua ahli dan penyokong MCA dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung MCA ke-59 di Wisma MCA pada Ahad.

Dr Chua berkata kepimpinan MCA tekah melakukan transformasi politik sejak dua tahun setengah yang lalu dan kini mereka lebih fokus dan bersatu dalam menyelesaikan isu-isu penting.

"Kita akur bahawa kita memiliki beberapa kelemahan sebelum ini tetapi melalui kepimpinan MCA yang baru ini kita belajar untuk menjadi lebih kuat dan bersiap sedia untuk menempuh dan berhadapan dengan apa jua masalah, cabaran, dugaan dan rintangan.

"Kita tidak akan sesekali menipu rakyat dengan mengatakan tiada kelemahan dan masalah dalam MCA seperti mana PR menggambarkan bahawa mereka sebuah parti politik yang paling sempurna, mulia dan suci di dunia serta bebas daripada sebarang masalah dan kelemahan,” katanya.

Artikel Lain