suria

Umno Sabah Nafi Campur Tangan Siasatan Rasuah Ketua Menteri

KUALA LUMPUR: Umno Sabah menafikan dakwaan bahawa parti itu mencampuri siasatan kes rasuah kontroversi membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak, Michael Chia melibatkan dana politik berjumlah RM40 juta.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, parti itu memberikan kerjasama penuh apabila Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) menjalankan siasatan mereka selama dua bulan di Sabah.

"Tidak ada mana-mana pegawai kami yang menghalang pihak berkuasa melakukan siasatan mereka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Selain itu Abdul Rahman juga menolak dakwaan bahawa Michael ditahan di lapangan terbang Hong Kong kerana menyeludup 'secara fizikal' wang tunai berjumlah RM40 juta oleh pihak berkuasa Hong Kong.

"Siasatan itu bermula apabila ketua pemuda PKR (Parti Keadilan Rakyat) Shamsul Iskandar Mohd Akin pergi ke Hong Kong dan membuat aduan mengenai dakwaan ini.

"Jadi ICAC seperti semua badan-badan bebas, mereka akan menjalankan siasatan selepas menerima aduan. Tetapi dalam imaginasi mereka (pembangkang) bahawa wang berkenaan diseludup daripada Hong Kong," katanya.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara (JPN) memutuskan tiada elemen perbuatan rasuah dibuktikan terhadap Musa berkenaan dana berjumlah RM40 juta selepas meneliti keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

JPN mendapati dana tersebut adalah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri.

Kes yang sama turut disiasat ICAC.

Selain itu Abdul Rahman turut mempersoalkan tindakan pemimpin pembangkang yang enggan menerima penemuan ICAC yang diktiraf di peringkat antarabangsa.

"Sebelum ini pembangkang banyak menyebelahi ICAC malah menggesa SPRM mencontohi tugas mereka dalam membanteras rasuah.

"Tetapi kini apabila ICAC bersihkan Ketua Menteri Sabah, mengapa mereka tidak boleh terima?" katanya.

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain