suria

Bekas Juruwang Pusat Urut Dipenjara Sehari, Denda RM10,000 Rasuah Pegawai DBKL

KUALA LUMPUR: Seorang bekas juruwang di sebuah pusat urut pada Khamis dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM200 kepada seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Januari lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh, Ching How Foo, 43, dipenjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Ching, dari Cheras, didakwa memberi wang itu kepada Mohd Fahmi Yusoff, Pegawai Merinyu Lesen di DBKL, sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman atau kompaun terhadap premis WH Relax Enterprise yang dikenali dengan nama Wood House.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun itu didakwa melakukan kesalahan di premis tersebut di No 12-1, Tingkat 1, Jalan 31/70A, Desa Sri Hartamas pada 12.20 pagi, 11 Januari. - BERNAMA

Artikel Lain