suria

Baru cuci kereta tapi rim cepat hitam berhabuk? Ini tanda-tanda anda perlu periksa komponen brek

Ada sebab tertentu rim cepat hitam walaupun baru dicuci. -Gambar hiasan AI

RAMAI pemilik kenderaan tertanya-tanya mengapa rim kereta cepat bertukar menjadi hitam walaupun baru dicuci sehari sebelumnya. 

Menurut pakar automotif yang dikenali sebagai Muhammad SE, punca utama masalah itu bukan disebabkan rim kotor, sebaliknya berpunca daripada habuk brek.

Habuk brek ialah serbuk halus yang terhasil daripada geseran antara pad brek dan cakera brek setiap kali pemandu menekan brek.

"Fenomena itu dianggap normal, namun jumlah habuk yang terhasil boleh menjadi petunjuk kepada keadaan sistem brek sesebuah kenderaan.

“Habuk brek dalam kuantiti sedikit adalah biasa. Namun jika rim cepat dipenuhi habuk dan kelihatan hitam dalam tempoh singkat, itu petanda ada komponen brek yang perlu diperiksa,” jelasnya.

Pad brek antara punca utama rim cepat berhabuk dan hitam. -Gambar hiasan AIPad brek antara punca utama rim cepat berhabuk dan hitam. -Gambar hiasan AI

Antara faktor utama yang menyebabkan habuk brek berlebihan ialah:

1. Pad brek semakin nipis

– Pad yang hampir habis akan menghasilkan geseran lebih agresif, sekali gus meningkatkan pengeluaran habuk.

2. Jenis pad brek digunakan

– Pad jenis lembut seperti organik atau semi-metallic memberikan cengkaman lebih baik tetapi menghasilkan lebih banyak habuk, manakala pad keras menghasilkan kurang habuk dengan ciri cengkaman berbeza.

3. Gaya pemanduan

– Kerap membrek secara mengejut, pemanduan di kawasan berbukit atau membawa muatan berat mempercepatkan penghasilan habuk brek.

4. Masalah sistem brek

– Kaliper brek yang jem atau pin yang kering boleh menyebabkan pad sentiasa bergesel walaupun brek tidak ditekan.

"Jika keadaan ini dibiarkan, habuk brek bukan sahaja menjejaskan kebersihan rim, malah boleh membawa kesan lebih serius.

"Apabila pad brek habis sepenuhnya, besi boleh bergesel terus dengan cakera brek, menyebabkan cakera calar, prestasi membrek tidak konsisten, kos penyelenggaraan meningkat dan keselamatan pemanduan terjejas," katanya.

Muhammad SE menasihatkan pemilik kenderaan supaya tidak mengambil ringan perubahan pada sistem brek, terutama jika rim cepat hitam atau brek terasa berbeza daripada biasa.

“Pemeriksaan awal boleh mengelakkan kerosakan lebih mahal pada cakera brek dan memastikan keselamatan kenderaan sentiasa terjamin,” katanya.

Artikel Lain