suria

Wanita berstatus anak angkat kongsi pengalaman nikah guna wali hakim... Bapa kandung gagal dikesan

Hakim akan bertanya beberapa soalan asas berkaitan maklumat diri bagi membolehkan pengunaan wali hakim. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita berkongsi proses pernikahan menggunakan wali hakim selepas berdepan kekangan dalam usaha mencari bapa kandungnya.

Menurut pengantin berkenaan, keputusan menggunakan wali hakim dibuat kerana bapa kandungnya tidak dapat dikesan dan tiada sebarang maklumat berkaitan status hidup atau keberadaannya.

Katanya, proses bermula dengan mengisi borang permohonan perkahwinan mengikut negeri masing-masing melalui sistem dalam talian Pejabat Agama Islam. 

Bagi negeri Selangor, permohonan dibuat menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) dengan menandakan pilihan wali hakim serta melengkapkan semua dokumen yang diperlukan sebelum dihantar ke Pejabat Agama untuk kelulusan.

Proses pernikahan yang mudah akan melancarkan majlis perkahwinan. -Gambar hiasan AIProses pernikahan yang mudah akan melancarkan majlis perkahwinan. -Gambar hiasan AI

"Selepas permohonan diluluskan, pemohon perlu mengemukakan permohonan ke Mahkamah Syariah berdekatan bagi mendapatkan kebenaran menggunakan wali hakim. 

"Dalam proses tersebut, pegawai mahkamah akan menemu bual pemohon bagi mendapatkan penjelasan berhubung latar belakang bapa kandung, termasuk usaha mengesan dan maklumat yang ada," kongsinya.

Tambahnya, mahkamah kemudian menetapkan satu tarikh bicara dengan pemohon perlu hadir bersama dokumen lengkap, termasuk surat beranak asal bagi memastikan proses berjalan lancar. 

"Alhamdulillah saya dapat tarikh ngam-ngam esok lusa tu sebab ada kekosongan. Hari perbicaraan hakim tanya beberapa soalan asas berkaitan maklumat diri, pasangan serta latar belakang ibu bapa kandung. 

"Keseluruhan proses perbicaraan mengambil masa sekitar 20 minit sebelum kelulusan untuk menggunakan wali hakim diberikan," katanya.

Selepas mendapat kelulusan mahkamah, pengantin perlu kembali ke Pejabat Agama bagi menetapkan tarikh dan urusan akad nikah.

Namun, wanita tersebut berdepan cabaran apabila perancangan awal untuk bernikah pada Sabtu terpaksa diubah ke Jumaat.

"Tapi Allah sebaik-baik perancang, jadi nikah Jumaat, Alhamdulilah," katanya yang memaklumkan turut membuat perubahan saat akhir melibatkan jurusolek, jurugambar dan pelamin.

Tip guna wali hakim

- Pastikan semua dokumen lengkap sejak awal, terutama surat beranak asal

- Mohon kebenaran wali hakim seawal mungkin untuk elak perubahan tarikh saat akhir

- Bersedia dengan penjelasan berkaitan latar belakang bapa kandung semasa sesi mahkamah

- Elakkan menetapkan tarikh nikah terlalu dekat sebelum kelulusan diperoleh

Artikel Lain