suria

Usaha Menyejukkan Kapal Bunga Alpina Diteruskan - MISC

KUALA LUMPUR: Kebakaran di atas kapal tangki milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) Berhad, Bunga Alpinia di Labuan, Sabah telah dikawal, dan kini usaha menyejukkan kapal itu masih diteruskan.

MISC dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan akan menilai keadaan kapal itu terlebih dahulu sebelum membenarkan usaha mencari empat anak kapal yang dilapor hilang dijalankan.

"Kami mengesahkan mangsa yang meninggal dunia ialah rakyat Malaysia, Shahril Azmi Baharudin, seorang tukang gris di atas kapal Bunga Alpinia. MISC akan menyediakan segala bantuan perlu kepada keluarga mangsa dan empat anak kapal yang hilang," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi semalam, kapal Bunga Alpinia terbakar, diikuti beberapa letupan yang menggegarkan labuan.

Ketika kejadian, terdapat 29 anak kapal terdiri dari 23 rakyat Malaysia dan enam Filipina di atas kapal yang membawa muatan metanol di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Sdn Bhd di Labuan.

Sementara itu, MISC telah menggerakkan pakar-pakar industri untuk membantu pihak berkuasa Malaysia dalam memastikan pelindungan yang berterusan terhadap alam sekitar, kapal dan penduduk di kawasan itu.

MISC juga bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan, kata kenyataan itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain