suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pantang nampak wayar putus! Budak ini gigih cari kabel terpakai tepi jalan, gembira dapat RM50 hasil titik peluh sendiri

Fateh berjaya memperoleh wang hasil daripada usaha gigihnya mengumpul lebih sekilogram wayar tembaga.

MENYAKSIKAN anak sendiri berusaha gigih demi mendapatkan sesuatu yang diidamkan pastinya menjadi antara momen paling membanggakan buat seorang ibu.

Perasaan itulah yang dirasai oleh pengasas jenama aiskrim tempatan, Mokti's, apabila anak lelakinya bernama Fateh sanggup mengumpul kabel terpakai di tepi jalan, kawasan pengubahsuaian rumah, serta tapak projek demi mencari duit poket sendiri.

Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, ibu berkenaan mendedahkan Fateh sering 'hilang' seketika untuk mencari wayar kabel setiap kali mereka keluar menghadiri kenduri atau berkunjung ke mana-mana lokasi.

"Anak saya gigih kumpul wire cable daripada barang rosak, tepi jalan, kawasan renovation dan lain-lain untuk jana duit beli barang yang dia impikan.

"Fateh ni kalau kami pergi makan, kenduri atau mana-mana... dia akan 'hilang' sekejap. Dia tengok tepi longkang atau kawasan sampah, cari wire cable untuk bawa balik.

"Dia tak segan. Apabila dapat wire cable, dia gembira sangat. Balik rumah, dia kupas sendiri," katanya.

Fateh mengupas sendiri kabel untuk mendapatkan wayar kuprum.

Tambah usahawan itu lagi, usaha gigih anaknya akhirnya membuahkan hasil apabila kabel yang dikumpul berjaya mencecah berat lebih satu kilogram.

Lebih membanggakan, dia sendiri bertindak menemani Fateh ke pusat jualan barangan lusuh sehingga mereka berjaya membawa pulang hasil jualan berjumlah kira-kira RM50.

"Alhamdulillah apabila dah cukup sekilo, saya teman Fateh pergi jual. Dapatlah kira-kira RM50. Harga sekilo untuk copper wire (wayar kuprum) ini ialah RM37," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai perincian harga, wanita itu menjelaskan wayar yang lebih tebal seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) biasanya boleh mencecah sekitar RM47 sekilogram.

Manakala kabel halus yang dikumpul Fateh pula dikenali sebagai 'kabel bakar' yang berharga sekitar RM37 sekilogram.

Untuk rekod, 'kabel bakar' merujuk kepada wayar elektrik halus yang biasanya dibakar atau dikupas penebatnya untuk mendapatkan lapisan tembaga tulen di bahagian dalam.

Dalam pada itu, wanita tersebut mengakui tidak pernah terfikir anaknya akan mempunyai minat mengumpul kabel terpakai, namun tetap menyokong usaha tersebut selagi dilakukan dengan cara selamat.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai yang kagum melihat sikap rajin dan kesungguhan Fateh mengumpul kabel demi mendapatkan barang yang diimpikannya.

Artikel Lain