suria

ATM Belum Putuskan Hantar Pasukan Pengaman Ke Syria - Zahid Hamidi

KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum membuat keputusan untuk menghantar anggota pengamannya ke Syria yang sedang bergolak ketika ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan untuk menghantar pasukan pengaman ke negara tersebut bergantung kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Keadaan di Syria ketika ini masih tidak menentu, kalau ada pemintaan kita bersedia untuk menghantar pasukan pemerhati dan ini juga bergantung dengan keputusan Jemaah Menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama kira-kira 700 anggota Tentera Darat Malaysia di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi Kem Penrissen di sini, Khamis.

Katanya, sejak merdeka sehingga hari ini, Malaysia berjaya menghantar kira-kira 25,000 anggota keselamatannya ke beberapa negara bergolak dunia dan mendapat kepercayaan serta pengiktirafan tinggi PBB.

Beliau berkata, kejayaan pasukan pengaman Malaysia bukan setakat dalam operasi keselamatan negara bergolak, malah turut membabitkan beberapa program jiwa murninya.

Mengulas tentang rakyat Malaysia di Syria, beliau berkata, misi membawa keluar 132 rakyat Malaysia kebanyakannya pelajar sudahpun selesai membabitkan beberapa penerbangan sewa khas yang diurus olah Wisma Putera dan Majlis Keselamatan Negara.

"Tinggal sembilan lagi pelajar Malaysia yang membuat keputusan untuk kekal di negara tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.6 juta kepada Markas 1 Divisyen Wilayah 2 untuk pembangunan beberapa prasarana asas seperti menaik taraf kemudahan masjid membabitkan semua batalion di bawah markas tersebut.

Hadir sama pada majlis berbuka puasa itu ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi. - BERNAMA

Artikel Lain