suria

Malaysia Antara Negara Terbaik Untuk Pelaburan - Muhyiddin

MERBOK: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kedudukan Malaysia di mata dunia sebagai negara terbaik untuk membuat pelaburan bertambah kukuh dan mengatasi banyak negara maju di dunia.

Katanya Buku Laporan Daya Saing Dunia 2011 IMD melaporkan Malaysia negara ke-14 paling kompetitif di dunia manakala Laporan Melakukan Perniagaan 2012 Bank Dunia melaporkan Malaysia meningkat lima anak tangga daripada kedudukan ke-23 kepada kedudukan ke-18 dan mengatasi negara maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan, Switzerland dan Peranchis.

Menurutnya, Laporan Daya Saing Global 2011 World Economic Forum (WEF) pula meletakkan Malaysia pada tangga ke-21, meningkat lima anak tangga daripada kedudukan ke-26 di kalangan 142 negara di dunia dan pada masa yang sama berada pada tangga ke-enam di kalangan negara Asia Pasifik dan ke-dua dalam Asean.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia juga berada pada tahap ke-10 negara paling digemari di dunia oleh pelabur asing.

"Kenyataan laporan berintegriti badan-badan dunia ini bukan suka-suka hendak disebut tetapi perlu bagi menjelaskan mengenai pimpinan negara sentiasa fokus dan tidak sembrono untuk mengangkat Malaysia menjadi negara maju.

"Syukurlah kerana dasar dan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) selari dengan matlamat mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020," katanya semasa merasmikan Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana peringkat negeri Kedah di UiTM Merbok di sini Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) Datuk Ir (Dr) Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Muhyiddin berkata Malaysia berada pada landasan tepat untuk mencapai matlamat itu selain giat menjalankan pelbagai program pembangunan negara serta bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

Kesungguhan kerajaan BN itu antaranya melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP), kata Timbalan Perdana Menteri.

Mengenai pembangunan usahawan, beliau berkata Miti dan agensi-agensi di bawahnya melaksanakan pelbagai program antaranya bimbingan dan latihan, bina upaya, peningkatan daya saing dan inovasi, pemasaran dan penjenamaan, bantuan bersepadu, kewangan dan kesedaran halal.

Muhyiddin berkata SME Corp telah memberikan pinjaman Skim Pinjaman Mudah kepada 53 syarikat di Kedah berjumlah RM27.5 juta serta meluluskan 1,184 permohonan baharu dengan nilai geran RM44.53 juta.

Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) pula telah meluluskan pembiayaan bernilai RM381 juta kepada 247 syarikat di Kedah termasuk pembiayaan program bantuan kewangan kerajaan persekutuan sebanyak RM35.5 juta kepada 42 syarikat untuk membantu merancakkan pembangunan ekonomi negeri, katanya.

Katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) turut meluluskan insentif bagi 49 projek PKS dengan pelaburan bernilai RM93.2 juta yang menawarkan 1,340 pekerjaan terhadap pelbagai sektor di negeri itu.

Daripada 10,140 syarikat pengeksport Malaysia yang berdaftar dengan Perbadanan Pembangaunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), katanya 250 syarikat atau 2.5 peratus adalah dari Kedah.

Pada majlis itu, Muhyiddin telah menyampaikan cek kepada para penerima bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM247.758 juta; Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun) berjumlah RM1.5 juta; Skim Usahawan Dinamik Mara (RM65,000); anugerah usahawan mikro SME Corp dan bantuan pelajaran kepada anak-anak penerima pinjaman TEKUN dan AIM.

Himpunan Usahawan itu berlangsung selama dua hari bermula Selasa yang memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk, mendengar ceramah peluang perniagaan dan mendapatkan maklumat terkini.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain