suria

Rayuan Unisel Buktikan PTPTN Masih Diperlukan - Khaled

JOHOR BARU: Rayuan yang dikemukakan oleh Universiti Selangor (Unisel) supaya menarik balik pembekuan penyaluran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajarnya membuktikan pinjaman tersebut relevan dan masih diperlukan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan membekukan pinjaman tersebut dibuat untuk menentukan sama ada kerajaan Selangor bersedia memberikan pendidikan percuma kepada pelajar di negeri yang ditadbir mereka.

"Beberapa kumpulan pelajar termasuk dari Unisel mendesak pinjaman PTPTN dimansuhkan dan bertindak mengadakan demonstrasi di jalanan.

"Oleh itu, keputusan tersebut diambil untuk melihat sama ada mereka boleh memberikan pendidikan percuma dan tidak memerlukan pinjaman PTPTN," katanya pada sidang media selepas menghadiri kursus motivasi yang dianjurkan kawasan Parlimen Pasir Gudang di sini, Sabtu.

Mohamed Khaled berkata, surat rayuan oleh Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad memaklumkan pelbagai perkara termasuk kekesalan pihak universiti mengenai tindakan sekumpulan kecil pelajarnya yang terlibat dalam demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN di Dataran Merdeka.

"Surat itu antara lain menyatakan bahawa Unisel tidak bersetuju dengan perbuatan pelajar terbabit dan berkata mereka mungkin dipengaruhi oleh pelajar universiti lain untuk bertindak sedemikian.

"Mereka juga merayu supaya penangguhan pinjaman dibatalkan kerana pelajarnya amat memerlukan pinjaman tersebut.

"Memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan secara percuma tidak mudah.

"Pembangkang perlu berfikir bagaimana cara untuk berurusan dengan pembayaran balik RM4 bilion yang sudah diselesaikan oleh para pelajar dan hutang RM29 bilion PTPTN kepada bank," katanya.

Ketika ditanya sama ada sekatan pinjaman PTPTN akan dikenakan terhadap pelajar di negeri yang ditadbir pembangkang jika lebih banyak demonstrasi diadakan pada masa hadapan, Mohamed Khaled berkata, "ia bergantung pada keadaan".

"Kini kita tahu bahawa pemansuhan pinjaman PTPTN hanyalah janji-janji politik tetapi saya tidak boleh menjangkakan jenis tindakan yang akan diambil pada masa akan datang," katanya.

Artikel Lain