suria

18 Anggota Sindiket Perdaya Warga Asing Dapat Kad Pengenalan Diberkas

TAWAU: Polis di sini percaya telah menumpaskan satu sindiket memperdaya pendatang asing untuk mendapatkan kad pengenalan setelah memberkas 18 lelaki berusia antara 28 hingga 50 tahun dalam beberapa siri tangkapan sejak 25 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Keong Ho Eng berkata, 16 daripada suspek iaitu tujuh warga Malaysia, lapan Pakistan dan seorang warga Filipina ditahan selepas polis menyerbu sebuah hotel di bandar ini kira-kira jam 11 malam pada 25 Mei lalu.

Bagaimanapun, kata Keong daripada 16 suspek berkenaan, cuma tiga daripadanya iaitu seorang rakyat tempatan Sabah dan dua lagi dari Semenanjung, kesemuanya lelaki, ditahan lanjut bagi membantu siasatan sementara lainnya dibebaskan.

"Ketika membuat serbuan, kesemua suspek sedang berurusan dalam sebuah bilik di hotel berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaaan dalam bilik itu, polis menemui 107 helai borang permohonan kad pengenalan Malaysia (JPN.KP01) yang masih kosong, lima helai borang siap diisi dan bercap jari, sembilan helai salinan sijil kelahiran, dua helai borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), lima buku cek, satu stemped dan wang tunai RM1,000.

"Kesemua borang JPN. KP01 yang temui merupakan borang asli kepunyaan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Berikutan tangkapan di hotel berkenaan, dua orang lagi suspek lelaki berusia antara 28 dan 37 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 27 dan 28 Mei dan salah seorang daripada lelaki berkenaan adalah petugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya.

Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk permohonan Kad Pengenalan Malaysia.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperangkap dengan tipu muslihat orang tidak dikenali terutama berkaitan dengan urusan rasmi kerajaan.

Katanya, orang awam dinasihatkan segera melaporkan kepada polis jika ada pihak menawarkan khidmat mendapatkan dokumen pengenalan diri di luar pejabat. - BERNAMA

Artikel Lain