suria

50 Unit Rumah Setinggan Ladang Segambut Musnah Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 unit rumah setinggan di Ladang Segambut di sini musnah dalam kebakaran pada Rabu, mengakibatkan 250 penghuni kehilangan tempat tinggal.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Kuala Lumpur M.Letchumanan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran kira-kira 12.37 tengah hari itu kerana semua penghuni rumah terlibat sempat menyelamatkan diri.

"Kita masih siasat punca kebakaran dan jumlah kerugian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, sambil menambah api berjaya dikawal dalam tempoh setengah jam oleh 90 anggota dan lapan jentera bomba dari Balai Bomba sekitar Kuala Lumpur dan satu dari balai bomba Selayang.

Katanya anggota bomba mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air akibat tiada pili bomba dan terpaksa menggunakan bekalan air sungai di kawasan berhampiran.

"Walaupun terdapat sumber air dari sebuah kolam namun paras air yang terlalu rendah menyebabkan bomba sukar untuk mendapatkan bekalan air itu," katanya.

Seorang mangsa, Suhardi Sahidan ,58, yang menetap di kawasan itu sejak 16 tahun lepas berkata dia tidak menyedari rumahnya terbakar kerana sedang leka bermain dengan cucunya.

"Ketika kejadian saya sedang melayan cucu berusia setahun lebih...sedar-sedar api sudah mula marak di bahagian depan rumah saya, syukur dapat selamatkan diri bersama tujuh ahli keluarga yang lain...saya hanya sempat menyelamatkan sebuah beg pakaian dan sebuah televisyen," katanya.

Seorang lagi mangsa, yang hanya dikenali sebagai Anbrasu , 36, berkata ketika kejadian itu dia sedang makan tengah hari bersama ahli keluarganya dan hanya menyedari apabila api marak di bahagian depan rumahnya.

"Saya menanggung kerugian dianggarkan RM10,000 termasuk barangan elektrik, pakaian, perabot dan lain-lain lagi," katanya yang telah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain