suria

Kerajaan Setuju Bayar Insentif Kepada Lebih Ramai Jururawat Pakar - Liow

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju membayar insentif tunai bulanan sebanyak RM100 kepada jururawat pakar yang memiliki kelayakan pos basik dalam bidang penjagaan kritikal dan pengkhususan kritikal, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerajaan menambah senarai penjagaan kritikal dan pengkhususan kritikal kepada 26 bidang daripada 18 sebelum ini untuk menggalakkan lebih ramai jururawat memiliki kelayakan dalam bidang pengkhususan.

"Kerajaan, sejak 2007, meluluskan bayaran insentif pos basik RM100 setiap bulan kepada semua jururawat daripada Kementerian Kesihatan yang memiliki sijil pos basik dalam satu daripada 18 bidang penjagaan kritikal dan pengkhususan kritikal.

"Kini, kami menambahnya kepada lapan lagi bidang dan ini berkuat kuasa mulai 1 April, 2012 " katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Jururawat Sedunia Antarabangsa di sini, Sabtu.

Lapan bidang pengkhususan tambahan itu ialah rawatan kawalan infeksi, kaunseling HIV/AIDS, pengurusan diabetes, endoskopi gastrointestinal, penjagaan kesihatan premier, pemulihan, forensik dan perubatan sukan.

Lapan belas bidang permulaan pula termasuk pengkhususan dalam unit penjagaan rapi, kesihatan umum dan unit penjagaan jantung.

Liow berkata kursus peringkat sijil pos basik yang mengambil masa antara enam bulan dan setahun adalah setara dengan diploma lanjutan dan membolehkan jururawat memberi penjagaan lebih baik kepada pesakit.

Katanya Malaysia menghadapi kekurangan jururawat pakar atau jururawat penjagaan khusus kerana daripada keseluruhan 96,598 jururawat di negara ini, hanya 21,814 memiliki kelayakan pos basik.

Liow berkata Kementerian Kesihatan memohon Jabatan Perkhidmatan Awam mengambil 9,000 jururawat baru untuk mengatasi kekurangan itu.

Katanya kini hanya terdapat kira-kira 66,000 jururawat dalam perkhidmatan awam dan lebih 30,000 dalam sektor swasta.

Liow berkata Malaysia mempunyai 113 institusi, kolej dan universiti yang menawarkan kursus dalam bidang kejururawatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain