suria

“Terima kasih Siti Nurhaliza” - Yayasan Nurjiwa bantu mangsa banjir Aceh, bukti kasih sayang rakyat Malaysia

Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Aceh.

YAYASAN Nurjiwa yang diasaskan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meneruskan misi bantuan kecemasan ke Aceh Tamiang, Indonesia susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu pada hujung bulan lalu.

Misi kemanusiaan berkenaan digerakkan sebagai tanda solidariti terhadap saudara serumpun yang terjejas dengan menyalurkan bantuan asas serta sokongan moral hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Dalam satu perkongsian di Instagram rasmi Yayasan Nurjiwa, pihaknya menekankan bahawa nilai kemanusiaan menjadi teras utama setiap gerak kerja yang dilaksanakan, tanpa mengira jarak dan sempadan negara.

Misi kemanusiaan Yayasan Nurjiwa di Aceh Tamiang membawa harapan buat saudara serumpun.

"Dalam setiap ujian, kemanusiaan menyatukan kita. Yayasan Nurjiwa menyantuni saudara serumpun di Aceh, menyalurkan amanah dan kasih sayang daripada rakyat Malaysia kepada mereka yang diuji.

"Jarak memisahkan, kemanusiaan menyatukan. Setiap sumbangan anda adalah doa yang bergerak dan sampai ke hati mereka yang berhadapan musibah.

"Yayasan Nurjiwa adalah perantara yang membawa secebis harapan dengan sarat kasih sayang, dalam dakap penuh tulus dan rasa kecintaan sesama manusia tanpa batas apa pun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sediakan makanan setiap hari, Siti Nurhaliza komited bantu Palestin

ARTIKEL BERKAITAN: “Sekolah Afwa Al Aafiyah musnah dibedil bom” - Siti Nurhaliza

Menerusi misi tersebut , Yayasan Nurjiwa turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran penyaluran bantuan kepada mangsa.

Turut mengikuti misi kemanusiaan itu ialah pengurus kepada Siti iaitu Rozi Abdul Razak. 

"Terima kasih kepada semua yang telah mempermudah perjalanan kami ke Aceh, pihak konsulat jeneral Malaysia di Medan yang memberi panduan nasihat dan memastikan kelancaran, pasukan Yayasan Nurjiwa dan sukarelawan kami yang telah berbesar hati menjayakan misi ke Aceh serta para penyumbang dan dermawan budiman yang sentiasa bersama-sama kami.

"Setiap bantuan anda membawa harapan, kekuatan dan sinar buat mereka yang memerlukan. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan," katanya.

Pasukan Yayasan Nurjiwa bersama sukarelawan menyantuni mangsa bencana di Aceh Tamiang.

Sementara itu, video perkongsian yang dimuat naik mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai terutama masyarakat Indonesia yang terharu dengan usaha dan komitmen yang dilakukan Siti serta seluruh pasukan Yayasan Nurjiwa.

"Terima kasih Datuk Siti kerana peduli dengan Aceh. Hanya Allah saja yang mampu mambalas kebaikan anda.

"Alhamdulillah terima kasih Datuk Siti," tulis beberapa pengikut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain