PENYANYI, Fauziah Latiff berpandangan fenomena lagu viral di TikTok membawa pendekatan yang berbeza berbanding karya muzik pada era terdahulu.
Menurut Fauziah atau Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 55, perubahan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sejajar dengan perkembangan media sosial dan kehendak pasaran semasa.
“Realitinya lagu-lagu viral di TikTok hari ini agak berbeza dengan lagu-lagu dahulu. Beat, struktur dan pengulangan juga berbeza.

Fauziah kekal dengan prinsip utamakan lirik dan melodi.
“Dari segi kualiti, mungkin tidak sama seperti dulu dan saya setuju dengan perkara itu,” katanya kepada mStar.
Bagaimanapun, Fauziah tidak menafikan bakat dan kreativiti yang dimiliki pencipta lagu generasi baharu, malah menganggap keupayaan mereka menghasilkan karya yang sesuai dengan platform digital sebagai satu pencapaian tersendiri.
“Saya rasa pencipta baharu ini mereka kreatif dan ada yang sangat berbakat kerana mampu menghasilkan karya yang cantik dari segi lirik, komposisi, mood dan rasa serta memenuhi keperluan di media sosial.
"Jujur bagi saya itu sudah satu pencapaian yang baik,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Fauziah Latiff fokus cari ketenangan, belum sedia buka hati kahwin lagi
ARTIKEL BERKAITAN: Fauziah Latiff cerewet orangnya, punca 9 tahun tiada lagu baharu
Dalam pada itu, Fauziah berkata dia tetap berpegang teguh pada prinsip mengutamakan lirik yang berkualiti dan mengakui segan untuk membawakan genre tertentu kerana bimbang terhadap persepsi masyarakat terhadap imejnya.
Tambah Fauziah, secara peribadi dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan trend semasa, namun tetap memilih untuk setia dengan pendiriannya yang lebih menitikberatkan aspek lirik dan komposisi.
“Tentang lirik pula, ada lagu yang orang lain okay, tetapi bagi diri saya, ada rasa segan. Takut nanti orang kata buat sesuatu semata-mata untuk ikut trend.

Fauziah ketika berduet dengan JessC.
“Secara peribadi, saya tiada isu, tetapi saya lebih menitikberatkan lirik dan komposisi. Itu lebih baik untuk diri saya sendiri,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fauziah teruja apabila penampilan khasnya di konsert JessC My Style yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada malam Sabtu menerima pujian penonton.
Konsert yang dihadiri lebih 3,500 penonton itu menyaksikan Fauziah tampil bertenaga membawakan beberapa lagu popularnya seperti Dia dan Kenari, sekali gus mengubat kerinduan peminat yang hadir.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


