suria

“Saya dan suami ada satu peraturan iaitu kalau tengah emosi jangan berbincang” - Reen Rahim

Reen elak ada isu berpanjangan dengan suami.

PELAKON Reen Rahim mengakui komunikasi dan kawalan emosi menjadi kunci utama keharmonian rumah tangga bersama suaminya, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin.

Menurut Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim, 37, mereka menetapkan satu peraturan iaitu mengelakkan perbincangan ketika emosi sedang memuncak kerana percaya situasi itu hanya akan memburukkan keadaan.

“Dalam rumah tangga, kami ada satu peraturan iaitu kalau tengah emosi jangan berbincang. Sebab kalau dua-dua beremosi memang takkan jumpa jalan penyelesaian.

Reen elak berbincang dengan suami jika kedua-duanya sedang berada dalam fasa beremosi.

“Jadi kami selalunya akan beri ruang dalam 15 minit baru sambung bincang dengan nada baik,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, kata Reen, mereka juga belajar untuk tidak memperbesarkan perkara remeh dan memilih untuk melepaskan jika isu yang diperdebatkan tidak memberi kesan besar.

“Satu lagi kalau isu yang diperdebatkan tak besar, kami belajar melepaskan kerana kadang-kadang marah bukan sebab tak sayang tapi sebab penat,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Reen tidak menafikan dirinya mempunyai personaliti yang kuat, terutamanya berkaitan soal kerja, namun menganggap suaminya sebagai pelengkap yang menenangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anugerah pertama lepas 15 tahun, doa ibu bapa jadikan Reen Rahim luar biasa

ARTIKEL BERKAITAN: Untungnya Reen Rahim, doa ibu untuknya buat ramai tersentuh hati

Malah kata Reen, mereka tidak pernah meletakkan soal siapa dominan atau siapa perlu tunduk, sebaliknya melihat perkahwinan sebagai satu pasukan.

“Saya memang jenis strong personality, terutama bila bab kerja. Tapi Hazim pula jenis yang tenang dan stabil.

“Dia bagi saya ruang untuk jadi diri saya, tapi dalam masa sama dia jadi ketua saya. Orang nampak saya kuat, tapi hakikatnya ‘kuat’ saya itu sebab ada dia.

“Dalam rumah tangga tiada istilah siapa dominan dan siapa perlu tunduk, sebaliknya perlu bersama sebagai satu pasukan. Itu yang buat rumah tangga kami harmoni,” jelasnya.

Reen dan suami saling melengkapi antara satu sama lain.

Terdahulu, netizen memuji personaliti Reen dan suami yang pandai membahagikan peranan sebagai suami isteri dan rakan perniagaan bagi produk Reen Rahim Hygiene Wash atau Quyus. 

Untuk rekod, Reen dan Hazim mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain