ISTILAH ‘coach cerai’ yang didakwa bertindak sebagai penasihat rumah tangga pasangan selebriti kini menjadi perhatian, malah turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Bimbang perkhidmatan berkenaan boleh menimbulkan salah faham serta kekeliruan dalam masyarakat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menasihati semua pihak supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam.
Menerusi satu kenyataan, beliau menegaskan penggunaan khidmat yang dipromosikan sebagai ‘coach cerai’ tidak seharusnya menjadi amalan dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana berisiko mendorong pasangan ke arah perceraian.

Setiap masalah berkaitan agama perlu dirujuk kepada pihak bertauliah.
"Kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti 'coach cerai' telah menarik perhatian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga dan krisis perkahwinan.
"Sebarang usaha yang secara langsung atau tidak langsung memudahkan penceraian tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun berisiko menormalisasikan perceraian sebagai jalan pintas, sekali gus meremehkan nilai kesabaran dan tanggungjawab yang digariskan dalam ajaran Islam," ujarnya dalam satu kenyataan.
Pihaknya turut menegaskan tentang tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai institusi yang patut menjadi rujukan jika berlaku sebarang masalah berkaitan isu rumah tangga.
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya hanya perlukan lima minit untuk tahu pasangan itu berada dalam perkahwinan bahagia atau tidak” - Coach Cerai
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Amaran keras Kamal Adli buat Uqasha Senrose, ‘coach cerai’
Malah Jakim juga telah menyediakan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah bagi membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.
"Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas, sebaliknya pasangan yang berdepan krisis rumah tangga digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran yang sah dan berautoriti," ujarnya.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menegaskan bahawa penggunaan istilah tersebut perlu dikawal.

Nasihat berkaitan perkahwinan dalam Islam juga boleh dirujuk kepada pihak berwajib.
Memberi nasihat tanpa berlandaskan agama adalah tidak wajar dipraktikan dalam kalangan pasangan Islam.
"Penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar sehingga membawa kepada kegusaran awam.
"Nasihat tidak lagi dibenarkan apabila ia menyimpang daripada garis panduan dan ketetapan syariat seperti menghalalkan perkara yang telah diharamkan termasuk mendorong kepada perceraian tanpa sebab yang dibenarkan menurut syarak," jelas pihak berkenaan.
Justeru nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang tepat.
Mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor bertauliah, jabatan agama Islam negeri atau mahkamah syariah bukan sahaja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri, malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmah, berpandukan syariat dan memberi manfaat jangka panjang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


