suria

Ahli Perniagaan, Pemandu Lori Didakwa Rasuah Pegawai JPJ

IPOH: Seorang ahli perniagaan dan seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini Jumaat terhadap tuduhan memberi rasuah sebanyak RM500 kepada seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dua tahun lepas.

Lam Kok Kin, 48, dan Mok Guo Jian, 23, didakwa melakukan perbuatan itu di Km 1 Jalan Damar Laut-Changkat Jering, Pantai Remis antara pukul 7.30 pagi dan 8 pagi pada 1 Jun 2010.

Mereka dituduh secara bersama memberikan wang tunai itu kepada Mustakim Mohd Sani sebagai dorongan supaya Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ itu tidak mengambil tindakan ke atas Mok yang disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu lori tanpa kelas lesen yang dibenarkan dan tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 43 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka berdua boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, M. Kathan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain