suria

Wanita Umno Tubuh Sekretariat Khas Bantu Golongan Ibu

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno akan menubuhkan sebuah sekretariat khas bulan depan bagi melatih golongan ibu berpendapatan rendah bagi menambah pendapatan keluarga masing-masing.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata projek perintis itu akan dimulakan di sekitar Lembah Klang yang mensasarkan suri rumah dan ibu tunggal yang pendapatan isi rumah di bawah RM1,000.

"Kita akan bagi latihan cara-cara untuk menambah pendapatan mengikut kemahiran yang mereka miliki.

"Latihan asas seperti menjahit dan memasak untuk perniagaan di rumah yang mungkin boleh dikembangkan kepada perniagaan atas talian," katanya selepas sambutan Hari Ibu anjuran Wanita Umno sempena ulang tahun ke-66 parti itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Shahrizat berkata mereka dijangka memperoleh sekurang-kurangnya RM700 sebulan dengan latihan yang betul selain menggunakan peluang perniagaan dari rumah dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata senarai individu yang berkelayakan di dalam program khas ini juga telah dikenal pasti berdasarkan maklumat akar umbi Wanita Umno.

Katanya mereka yang terpilih ini bukan sahaja dari kalangan Wanita Umno tetapi juga pelbagai bangsa dan kaum yang difikirkan layak mendapat latihan tersebut. Dalam pada itu, Shahrizat juga gembira dengan kehadiran kira-kira 65,000 anggota pergerakan itu pada majlis itu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bunga dan kek kepada kira-kira 2,500 ibu yang menghadiri majlis itu.

Shahrizat turut mengucapkan takziah kepada keluarga seorang anggota Wanita Umno yang terkorban dalam kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah treler di Port Dickson malam tadi, selepas pulang daripada menghadiri sambutan ulang tahun Umno di Stadium Nasional.

Selain itu, 77 orang lagi turut cedera dalam kemalangan itu semasa mereka dalam perjalanan pulang ke Johor. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain