suria

Hasan Ali Sokong Fatwa Demonstrasi Diwartakan Sebagai Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali pada Selasa bersetuju sekiranya fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan rusuhan jalanan diwartakan sebagai undang-undang.

"Ya, saya setuju fatwa demonstrasi tidak boleh melibatkan penguatkuasaan tetapi perlu diwartakan sebagai undang-undang.

"Fatwa ini bukan sembarangan. Saya sebagai bekas exco tahu sangat proses nak keluarkan fatwa. Prosesnya bukan mudah kerana perlu merujuk kepada pelbagai kitab dan ulama," katanya.

Hasan berkata, orang ramai tidak perlu meragui fatwa yang dikeluarkan badan berkenaan kerana ahli-ahlinya terdiri daripada golongan ilmuan agama.

"Bagi saya tak perlu ragui fatwa. Ia dikeluarkan oleh golongan ilmuan agama berdasarkan al-Quran dan hadis," katanya.

Pada masa sama, Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) bersetuju dengan niat asas Bersih untuk menuntut pilihan raya telus dan adil tetapi tujuan asalnya tersasar apabila timbulnya demonstrasi untuk memerdekakan Dataran Merdeka.

"Saya setuju dengan tuntutan Bersih tetapi apabila sebaliknya berlaku, saya tentang. Apa natijahnya? Seorang anggota polis nyaris maut...ada yang cedera dapat rawatan di hospital," katanya.

Terdahulu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan untuk mengharamkan perhimpunan Bersih 3.0 kerana mempunyai niat tidak baik, melanggar undang-undang dan boleh mencetuskan huru-hara di negara ini.

Namun, keputusan itu terus dipertikaikan pemimpin PAS dan mendakwa ia dibuat tanpa memahami terlebih dahulu tujuan sebenar perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Artikel Lain