suria

Abang Maut, Adik Parah Dalam Kemalangan Di Hulu Besut

BESUT: Seorang penunggang motosikal maut manakala adiknya cedera parah dalam kemalangan ketika ingin ke pusat rekreasi Air Panas La di sini, Ahad.

Wan Osman Wan Muda, 33, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Wan Mohd Sukri, 25, cedera parah dalam insiden 3.45 petang yang berlaku berhampiran pondok polis Felda Tenang, Hulu Besut.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Kamaruddin Zakaria berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat menyebabkan motosikal ditunggangi Wan Osman hilang kawalan kerana jalan licin.

"Motosikal dinaiki dua beradik ini terbabas melanggar pasu bunga hiasan di kiri jalan menyebabkan kedua-duanya, yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut, tercampak ke atas jalan raya. "Wan Osman meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala manakala adiknya patah tangan kiri dan cedera di muka dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita pada Isnin. Sementara itu, dalam satu kejadian lain, Kamaruddin berkata seorang lelaki berumur 30-an yang ditangkap ketika cuba mencuri daripada sebuah peti besi di Masjid Hadhari, Jerteh, cedera parah dibelasah orang ramai.

Suspek, dari Pasir Putih, Kelantan dikatakan masuk ke masjid itu dan berpura-pura ingin bersolat kira-kira 9.45 malam tadi.

Bagaimanapun, perbuatan suspek mengumpil peti besi di ruang solat disedari pengawal keselamatan masjid itu.

"Pengawal keselamatan berkenaan cuba menahan suspek, namun suspek melawan sehingga berlaku pergelutan. Kejadian itu disedari orang ramai yang membantu memberkas suspek," katanya.

Suspek yang cedera parah termasuk patah tangan, diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke HUSM. -BERNAMA

Artikel Lain