suria

Abd Rahim Dilantik KSU Baru KDN Mulai 19 Mei

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abd Rahim Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu yang baharu mulai 19 Mei ini.

Dalam kenyataan pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Mohd Rahim menggantikan Tan Sri Mahmood Adam yang menamatkan perkhidmatannya sebagai KSU pada tarikh sama selepas berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun.

"Pelantikan Datuk Abd Rahim sebagai Ketua Setiausaha KDN yang baharu dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kompetensi beliau dalam bidang pengurusan operasi dan keselamatan negara, terutama sepanjang karier di KDN mahupun di Kementerian Luar Negeri," katanya.

Mohd Sidek yakin Abd Rahim akan dapat mengetuai warga perkhidmatan awam di KDN dalam meneruskan perkhidmatan dan budaya kerja dengan penuh integriti, cekap dan teratur bagi memastikan keamanan negara dapat dikekalkan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya, Abd Rahim, 55, memulakan karier dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983. Abd Rahim memegang pelbagai jawatan dalam KDN sebelum bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) mulai 5 Ogos 2010.

"Pengalaman mengetuai empat bahagian penting di KDN sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) merupakan aset yang bernilai kepada kompetensi beliau," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata pengetahuan dan pengalaman ini akan membantu Abd Rahim untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan perkara-perjara dasar berkaitan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini dengan penuh kualiti.

Mohd Sidek turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mahmood atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam perkhidmatan awam, terutama di sepanjang tempoh beliau menjadi KSU KDN. -BERNAMA

Artikel Lain