suria

Dewan Rakyat Lulus Tiga Rang Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2012 selepas dipersetujui sebulat suara oleh anggota-anggota Parlimen.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, ketika menggulung perbahasan, menjelaskan bahawa pindaan terhadap Akta Cukai Pendapatan 1967 dibuat bertujuan supaya penderma layak menuntut potongan cukai terhadap sumbangan wang tunai bagi maksud pengurusan institusi pendidikan yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya pindaan turut dibuat pada akta sama supaya penderma layak menuntut potongan cukai terhadap sumbangan wang tunai bagi maksud menjalankan dan menguruskan apa-apa aktiviti berkaitan dengan tempat ibadah dan kegiatan tempat agama yang diluluskan Ketua Pengarah LHDN.

Ketika sesi perbahasan, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) berkata rang undang-undang itu sekali lagi menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha beliau membuat perubahan fundamental kepada negara.

Pada persidangan yang sama, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Laporan Kewangan (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2012.

Dewan Rakyat bersambung Isnin depan. - BERNAMA

Artikel Lain