suria

Dua Peneraju Segmen Kereta Mewah Lihat Pengambilalihan Proton Oleh DRB-Hicom Tindakan Tepat

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia dan BMW Group Malaysia memberikan reaksi positif terhadap pengambilalihan Proton Holdings Bhd oleh DRB-Hicom daripada Khazanah Nasional Bhd kerana kedua-duanya merasakan ia adalah syarikat yang sesuai untuk mengubah pembuat kereta nasional itu menjadi lebih berdaya saing dan berdaya tinggi.

Syarikat-syarikat yang merupakan dua peneraju unggul dalam segmen kereta mewah tempatan itu, bersetuju bahawa DRB-Hicom milik jutawan perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary mempunyai kelayakan untuk mengurus dan mengubah Proton memandangkan pengalamannya yang luas dalam sektor automotif dan kemudahan berkaitan automotifnya di Malaysia.

Penglibatan DRB-Hicom dalam Proton akan juga membantu Proton menghentikan pergantungannya kepada dasar-dasar perlindungan dan berkembang menjadi peserta yang benar-benar berdaya saing di dalam dan luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Roland S. Folger, memberitahu Bernama pada Rabu bahawa DRB-Hicom sentiasa merupakan rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai bagi Mercedes-Benz Malaysia.

"Sebagai rakan kerjasama DRB-Hicom melalui kilang pembuatan kami di Pekan, kami yakin kepakarannya yang diperoleh melalui perkongsian dengan jenama-jenama luar negara akan memberi manfaat kepada Proton," kata Folger lagi.

Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat yang kukuh dari banyak aspek, DRB-Hicom akan dapat membawa pembuat kereta nasional itu ke tahap yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Geoffrey Briscoe, berkata pengambilalihan itu adalah satu langkah positif bagi pembuat kereta nasional itu kerana DRB-Hicom adalah peserta yang berpengalaman dalam segmen automotif dan boleh memberikan sumbangan besar kepada hala tuju strategik Proton. Meskipun pengambilalihan oleh DRB-Hicom ini akan memberikan rangsangan baharu dari segi idea, sumber dan hala tuju, namun masa depan Proton akan banyak bergantung kepada keupayaannya membebaskan diri daripada bergantung kepada dasar-dasar perlindungan yang sebenarnya telah menghalang keupayaannya untuk menjadi peserta yang berdaya saing dalam industri automotif.

"Dengan pengalamannya yang luas, baik dalam segmen automotif mahupun segmen-segmen perniagaan lain yang sengit persaingannya, saya berharap DRB-Hicom akan dapat membawa Proton ke arah menjadi peserta automotif yang berdaya saing di Malaysia dan juga di luar negara," kata Briscoe.

Isnin lalu, Khazanah Nasional Bhd mengumumkan bahawa DRB-Hicom memenangi bidaan untuk membeli 42.7 peratus kepentingannya dalam Proton menerusi jualan bersyarat pada harga RM5.50 sesaham, atau RM1.29 bilion tunai.

Dalam pasaran terbuka semalam, konglomerat itu membeli 7.27 peratus lagi, menjadikan keseluruhan pegangannya dalam Proton berjumlah 49.97 peratus.

Apabila urus niaga ini selesai (dijangkakan dalam tempoh dua bulan), DRB-Hicom berkewajipan untuk melaksanakan tawaran am mandatori bagi baki saham Proton pada harga yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain