suria

Ada Yang Tak Sabar Gantikan Saya - Hasan Ali

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada Isnin mempersoalkan keputusan kerajaan negeri menggugurkan beliau sebagai Exco Selangor yang disifatkan dibuat secara terburu-buru serta bermotif demi kepentingan pihak tertentu.

Menurut Hasan, penggugurannya sebagai exco yang berkuat-kuasa hari ini bercanggah dengan tarikh akhir tempoh rayuan beliau sebagai ahli PAS yang hanya akan tamat pada minggu pertama Februari depan.

Jelas beliau, secara teknikal pelucutan jawatannya sebagai exco berlaku dalam tempoh jangka hayat keahliannya dalam PAS masih sah sehingga proses rayuan berakhir.

"Mungkin Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlepas pandang menasihatkan Sultan Selangor mengenai perkara ini. Namun saya tidak ada masalah diatas pengguguran sebagai ahli exco. Malah saya telah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapinya.

"Hanya saya tertanya-tanya apa di sebalik tindakan yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan saya. Tindakan ini seolah-oleh menampakkan ada pihak yang begitu tidak sabar untuk mengeluarkan dan menggantikan tempat saya.

"Walhal dari segi pengguguran ahli exco, saya sepatutnya masih ada tiga minggu tempoh bertenang untuk membuat keputusan terbaik," katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Dalam pada itu Hasan turut memberitahu bahawa beliau sudah menerima surat rasmi daripada pihak istana memaklumkan mengenai penggugurannya sebagai exco awal pagi tadi.

Pada 8 Januari lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemecatan Hasan berikutan tindakannya yang didakwa menyalahi dan merugikan parti berdasarkankepada Fasal 82(9) perlembagaan parti.

Hasan sebelum ini dianggap sebagai ‘ancaman’ kepada PAS berikutan kenyataannya secara terbuka mengkritik perjuangan parti itu yang dianggap tersasar daripada landasan perjuangan asal parti, iaitu mendaulatkan Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain