suria

Wanita Ditemui Mati, Suami Hilangkan Diri

GEORGE TOWN: Seorang suri rumah ditemui mati di sebuah pangsapuri kos sederhana dipercayai membunuh diri di Jalan Sir Ibrahim, Jelutong di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata wanita itu, Khaw Geik San, 29, ditemui terbaring di atas katil dalam bilik tidur utama di kediamannya dengan kesan jerutan pada lehernya kira-kira pukul 4.30 petang.

"Hasil bedah siasat menunjukkan wanita terbabit mati kerana mengalami kesesakan nafas dipercayai dijerut dengan wayar yang ditemui dalam bilik berasingan," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata polis turut menemui wayar yang hampir putus pada kipas angin dan sebuah bangku kecil di dalam bilik itu. Gan berkata polis masih mengesan suami wanita itu yang menghilangkan diri untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Terdahulu, Khaw dilihat menghantar anak tunggalnya ke sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Difahamkan Khaw menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adiknya yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, yang berbunyi "saya mahu mati", pada pukul 11.10 pagi.

Chan, yang hanya menyedari kehadiran SMS itu pada pukul 1.30 tengah hari, segera bergegas ke rumah kakaknya dan mendapati kakaknya sudah meninggal dunia sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain