suria

Ada Parasit Dalam PAS - Hasan Ali

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada PAS akan mendedahkan mengenai kewujudan kumpulan parasit yang semakin menular hingga merosakkan asas dan perjuangan parti itu.

Dakwa beliau, kumpulan parasit berkenaan kini semakin menguasai hala tuju PAS termasuk dalam isu pemecatannya.

"Golongan parasit dalam PAS begitu kuat sehingga pucuk pimpinan terpaksa tunduk kepada mereka. Inilah yang sedang berlaku dalam PAS.

"Golongan parasit yang jumlahnya lebih besar dan menggunakan strategi yang licik telah berjaya mengubah hala tuju PAS," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, Isnin.

Jelas Hasan, beliau akan mendedahkan pemimpin PAS yang bertindak sebagai parasit dalam parti itu menerusi siri ceramah kecilnya di seluruh negara dalam masa terdekat.

Ditanya sejauh mana kumpulan parasit yang didakwanya itu berjaya mempengaruhi PAS, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, perubahan agenda parti Islam berkenaan pada masa kini merupakan bukti paling ketara.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam juga gagal memainkan peranan asalnya untuk menjaga akidah umat Islam.

"PAS yang sepatutnya menjadi juara untuk mengangkat martabat Islam. Tapi sehingga kini oleh kerana parasit itu, PAS saya masukkan dalam kategori gagal.

"Parasit ini ada kumpulan, pertemuan, gagasan, matlamat, misi, visi dan sebahagiannya sudah bergerak cergas sejak mereka berada di luar negara sebagai pelajar.

"Penyusupan kumpulan parasit ini paling berjaya dalam PAS. inilah situasi yang berlaku dan saya terlalu yakin bahawa mereka telah memegang jawatan-jawatan penting dalam PAS," katanya.

Isu itu dibangkitkan Hasan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia sebelum ini apabila mendakwa terdapat sekumpulan parasit di dalam parti itu yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain, serta tidak suka isu arak dan murtad diperjuangkan di Selangor.

Semalam Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman mencabar beliau mendedahkan senarai nama sekumpulan parasit yang didakwanya wujud dalam PAS bagi memastikan dakwaan terbabit bukan fitnah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain