suria

Di Sebalik Pelantikan Exco Selangor Yang Baru Ada Sesuatu Yang Berlaku....

Dr Abd Rani Osman
Dr Abd Rani Osman
Dr Abd Rani Osman

TEKA-TEKI mengenai siapa pengganti Dr Hasan Mohamed Ali sudah pun terjawab dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Pelantikan itu sekaligus mengenepikan jangkaan awal bahawa jawatan berkenaan bakal diberikan kepada calon yang disebut-sebut sebelum ini iaitu Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Dr Ahmad Yunus sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor disempurnakan dihadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di IstanaBukit Kayangan kira-kira pukul 10.15 pagi di sini, Rabu.

Sebelum ini Dr Ahmad Yunus merupakan Pembantu Exco Belia dan Sukan iaitu portfolio yang dipegang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dr Ahmad Yunus yang juga Yang Dipertua PAS Sijangkang berkelulusan Ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan daripada Universiti Malaya.

Pelantikan Dr Ahmad Yunus dibuat bagi menggantikan Dr Hasan sebaik Adun Gombak Setia itu dipecat keahliannya daripada PAS pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun ada sesuatu yang menarik di sebalik pelantikan exco baru ini.

Ia telah digunakan sebagai peluang terbaik untuk menarik balik potfolio hal ehwal agama Islam daripada tangan PAS.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut mengumumkan beberapa perubahan kecil kepada susunan potfolio Exco Kerajaan Negeri berikutan pelantikan ini.

Tidak sepertimana Dr Hasan, Dr Ahmad Yunus kini hanya memegang Potfolio Adat Melayu, Belia dan Sukan.

Sebaliknya potfolio Hal Ehwal Agama Islam, Prasarana dan Kemudahan Awam kini disandang oleh Khalid sendiri.

Potfolio berkenaan sebelum ini disandang oleh Dr Hasan.

Penulis kira semua orang tahu kenapa potfolio ini ditarik balik daripada disandang oleh wakil dari PAS.

Selangor tidak mahu melihat lagi adanya Exco yang turun padang menyertai operasi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan ke kelab-kelab malam dan tempat hiburan untuk membanteras kegiatan mengambil minuman keras di kalangan orang Islam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Dr Hasan sebelum ini.

Kini Khalid sendiri menguruskan hal ehwal agama dan Jais perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran beliau untuk sebarang aktiviti serbuan dan sebagainya. Habis cerita.

ARTIKEL TERDAHULU:

PADA jam 9.30 pagi, Rabu 18 Januari 2012, Istana Bukit Kayangan Shah Alam sekali lagi menjadi tumpuan para wartawan dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan satu majlis istiadat mengangkat sumpah ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru mewakili parti PAS bagi mengantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat dari parti itu baru-baru ini.

Seluruh negara rasanya sudah boleh menjangkakan siapakah yang bakal mengantikan Dr Hasan bagi kerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu,. Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Khabarnya calon yang disebut-sebut itu ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman yang juga ahli Dewan Undangan Negeri N42, Meru.

Walaupun Dr Hasan Ali telah memanggil satu sidang akhbar dan mempertikaikan kenapakah kerajaan negeri seperti tergesa-gesa mahu tempatnya digantikan dengan segera sedangkan tempoh untuk beliau membuat rayuan hanya akan tamat menjelang awal Februari depan tetapi itu semua hanyalah soal teknikaliti semata-mata dan hanya laku atas kertas.

Yang pasti, Dr Hasan Ali sudah tidak laku lagi dalam PAS dan penulis pun percaya Dr Hasan sendiri tahu bagaimanakah episod ini akan berakhir.

Jadi PAS dan Kerajaan Negeri tidak perlu membuang masa untuk menunggu sehingga Dr Hasan Ali membuat rayuan atau tidak kerana jawatan exco itu sudah tidak relevan dengan penyandang sekarang dan boleh ditukar pada bila-bila masa.

Mungkin juga secara kebetulan, jika Dr Rani lah yang menjadi pilihan pucuk pimpinan PAS, maka ini adalah kali kedua Dr Rani mengambil alih jawatan daripada Dr Hasan Ali.

Yang pertama ialah sebagai pesuruhjaya PAS negeri iaitu sebaik sahaja selesai pemilihan parti Jun tahun lalu.

Dr Rani ketika diwawancara oleh akhbar The Star minggu lalu berkata, jawatan exco ini adalah satu jawatan yang memeningkan kepala. Jika ditanya secara peribadi apakah beliau berminat dengan jawatan ini, jawapannya ialah tidak.

Tetapi jika pucuk pimpinan menyerahkan bebanan ini kepadanya, beliau akan menerima sebagai satu tanggungjawab tanpa banyak soal.

PROFIL

Dr Rani adalah seorang yang berprofil rendah. Baru-baru ini pada 6 Januari ketika menghadiri ceramah “kempen bebaskan Anwar” di Stadium Seksyen 13 Subang Jaya, walaupun mereka yang menyampaikan ceramah seperti memberi sedikit bayangan apa yang akan berlaku ekoran daripada insiden ini tetapi beliau tidak mendabik dada atau menanguk di air yang keruh. Beliau hanya berdiam diri. Itulah Dr Rani.

Beliau adalah anak jati Klang. Sebelum menyertai politik, beliau merupakan seorang doktor perubatan lulusan dari Mesir dan mempunyai sebuah klinik swasta di pekan Meru Klang yang dinamakan Klinik Fitrah.

Beliau mula berkhidmat sebagai wakil rakyat pada Mac 2008. Pada pilihan raya umum tersebut beliau berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Md Ghazali Md Amin dengan majoriti 5,513 undi.

Dr Rani berjaya memperolehi 14,826 undi manakala Md Ghazali 9,313 undi.

LAYAK

Penulis sendiri tidak nampak ada orang lain yang lebih sesuai untuk mengantikan tempat Dr Hasan melainkan Dr Rani. Layak memang ramai yang layak tetapi lebih sesuai lagi ialah Dr Rani.

Ini kerana salah satu kelayakan paling utama yang perlu diambil kira dalam membuat pelantikan ini ialah kerana, beliau kini merupakan pesuruhjaya PAS negeri.

Jadi dari sudut itu beliau wajar dilantik mewakili PAS dalam kerajaan negeri supaya apa jua polisi yang hendak diputus dan dipersetujui untuk dilaksanakan telah pun mengambil kira pandangan dan pendirian parti PAS yang diwakili beliau.

Dan oleh kerana beliau juga adalah pesuruhjaya PAS negeri, beliau sudah pun berada dalam kedudukan diberi mandat untuk membuat keputusan mewakili partinya di peringkat negeri.

Tetapi tidak tahulah seandainya pucuk pimpinan PAS merasakan ada orang lain yang lebih sesuai daripada Dr Rani. Ini adalah kerusi PAS, jadi pucuk pimpinan PAS berhak menentukan siapakah yang mereka fikir layak dan sesuai untuk mewakili mereka dalam kerajaan negeri.

HIERARKI

Jika berdasarkan portal Dewan Undangan Negeri Selangor (http://dun.selangor.gov.my/v2/exco), maka seseorang bolehlah membuat andaian bahawa kedudukan jawatan yang disandang oleh Dr Hasan Ali itu adalah satu kedudukan yang kanan dan penting di dalam hierarki kerajaan negeri.

Ini kerana kedudukannya bersama seorang lagi Exco dari DAP, iaitu Teresa Kok Suh Sim (yang menyandang jawatan pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan) diletakkan paling atas dari kalangan exco-exco yang lain.

Mereka hanya duduk di bawah ex-officio seperti setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang negeri dan penasihat kewangan negeri dari segi hierarki dan protokol.

Jadi hanya tinggal tidak berapa bulan sahaja lagi sebelum kita semua berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13, PAS sememangnya memerlukan seorang yang boleh dipercayai dan boleh diharap untuk memastikan status quo yang ada sekarang terus kekal dan tidak tergugat oleh ancaman dalaman sepertimana yang telah mereka hadapi dalam episod Dr Hasan Ali.

Ia adalah satu pengalaman yang sangat getir, menganggu fokus, konsentrasi dan perpaduan dalaman yang tidak diperlukan di saat-saat menghadapi pilihan raya umum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain