suria

Sukatan Pelajaran Kafa Di Terengganu Lebihi Tahap Keperluan Pelajar

KUALA TERENGGANU: Sukatan pelajaran Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Terengganu telah mencapai malah melebihi tahap keperluan pelajar di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Kandungannya juga mengajar perkara-perkara yang sunat dan fardhu kifayah, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi menjawab soalan Ramlan Ali (BN-Jabi).

Khazan berkata, memang tidak dinafikan di sebalik kejayaan kelas Kafa, ada pelajar yang masih lemah dan tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik dan gagal melaksanakan fardhu ain dengan cemerlang.

Katanya, ini disebabkan ada sesetengah pelajar tidak hadir kelas Kafa yang diadakan sebelah petang atau selepas waktu sekolah tamat kerana faktor seperti sekolah tidak cukup kelas, menghadiri kelas tuisyen atau tidak mendapat sokongan keluarga.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, Yayasan Islam Terengganu setiap tahun telah mengadakan perjumpaan antara guru besar sekolah kebangsaaan seluruh Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana kelas Kafa adalah di bawah anjuran Jakim.

Khazan berkata, walaupun masih ada sebilangan kecil pelajar yang gagal atau kurang penghayatan dalam fardhu ain tetapi keseluruhannya negeri Terengganu telah mencapai keputusan yang sangat baik.

Menurutnya, Terengganu mempunyai pelajar yang paling cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa berbanding negeri lain di mana terdapat 7,527 pelajar memperolehi keputusan semua A dalam ujian berkenaan pada tahun lepas.

Mengenai latihan pedagogi kepada guru iaitu kaedah mengajar yang lebih berkesan, Khazan berkata, Yayasan Islam Terengganu telah mengadakan kursus itu dari semasa ke semasa dengan kerjasama Institut Perguruan Datuk Razali dan Institut Perguruan Sultan Mizan di Besut. - BERNAMA

Artikel Lain