suria

29 Wanita Vietnam Ditahan

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka pada Rabu menahan 29 wanita Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sekitar bandar raya ini.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata mereka yang berusia antara 18 hingga 55 tahun itu ditahan dalam 'Operasi Sapu' di dua buah kondominium di Klebang tengah hari Rabu, setelah pihak imigresen melakukan risikan selama dua minggu hasil aduan orang awam.

"Siasatan awal mendapati 19 daripada mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial, lapan tidak mempunyai pas tersebut sementara dua lagi didapati tinggal melebihi had tempoh masa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, setiap hari mereka akan diambil dan dihantar balik dengan kenderaan ke pusat-pusat hiburan.

Kamalludin berkata, kesemua yang ditahan itu telah dibawa ke Depot Tahanan Machap Umboo untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, katanya seramai 174 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam 589 pemeriksaan yang melibatkan 57 operasi di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan PATI (Program 6P) sejak 2 Disember lepas.

Warga asing yang paling ramai ditahan ialah Thailand (37), China (32), Indonesia (28), Myanmar (17), Bangladesh (12) dan selebihnya lain-lain warga.

Lima orang majikan turut ditahan dan dua daripada mereka telah didakwa, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain