suria

Surirumah Maut Kebakaran Pangsapuri Rampai Court Setapak

KUALA LUMPUR: Seorang surirumah, yang dipercayai mengalami tekanan perasaan, mati akibat sesak nafas ekoran asap tebal dalam satu kebakaran di Pangsapuri Rampai Court Fasa 2, Setapak di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata wanita berusia 43 tahun itu, yang bersendirian di rumahnya sewaktu kejadian kira-kira 5.30 petang, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan kirinya melecur.

"Mangsa tinggal seorang diri kerana suaminya keluar bekerja. Hasil siasatan awal, kami dapati kebakaran bermula dari dua bilik yang terdapat dalam rumah itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan pada 6 petang dan tiba di tempat kejadian dua minit kemudian.

Tiga jentera dengan kekuatan 30 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Jelatek dan Setapak berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian, katanya.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata sebelum kejadian, wanita tersebut dilihat dalam keadaan tidak terurus dan tertekan.

"Saya nampak dia petang tadi... dia bawa pisau dan mengamuk nak pecahkan pintu grill rumah jiran kami sebab dia cakap dia nak bunuh bayi yang sedang menangis di dalam rumah itu.

"Dia cakap dengan saya, adik dia ada di dalam rumah tersebut. Dia memang selalu macam ni, tapi hari ni dia macam hilang kawalan, saya rasa dia hadapi tekanan perasaan disebabkan tidak mempunyai anak," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain