suria

30 Ahli PKR Bukit Piatu Keluar Parti

MELAKA: Seramai 30 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cawangan Bukit Piatu di sini termasuk ketuanya, Mohd Said Abu, mengisytiharkan keluar daripada parti itu kerana tidak lagi mempercayai pucuk pimpinan parti itu.

Mohd Said, 61, yang cawangannya terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bachang, berkata tindakan beliau dan yang lain itu tidak didorong oleh mana-mana pihak.

"Saya berasa kecewa kerana dipinggirkan oleh pucuk pimpinan PKR di peringkat negeri dan pusat dan tindakan mungkir janji yang ditonjolkan mereka (pemimpin) kepada kami di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Melaka Mall di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad dan Setiuasa Kerja Umno Melaka Datuk Hamzah Bajuri.

Mohd Said, yang pernah menjadi ahli Umno dan Pas sebelum menyertai PKR pada 2008, mendakwa lebih banyak lagi anggota PKR di cawangannya dan cawangan lain akan keluar daripada parti itu. "Saya dan rakan-rakan akan kembali semula kepada Umno dan BN dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan kepimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam," katanya.

Mohd Ali, ketika ditemui pemberita, berkata beliau menyambut baik langkah Mohd Said dan penyokongnya itu yang menginsafi bahawa perjuangan pembangkang tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

"Mereka mempunyai banyak masalah berbanding BN yang sentiasa melakukan kerja demi faedah semua rakyat," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain