suria

315 Kedai Runcit Sertai Program TUKAR: Rohani

KUALA LUMPUR: Sebanyak 315 kedai runcit di seluruh negara telah menyertai program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) sehingga 14 Oktober lalu sejak ia diperkenalkan pada Januari.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kira-kira 285 buah kedai lagi masih dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara.

"Kerajaan mensasarkan kira-kira 500 kedai runcit dimodenkan di seluruh negara pada tahun ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi mengenai jumlah kedai runcit yang menyertai program TUKAR di daerah itu, Rohani berkata, masih belum ada peruncit menyertai program transformasi tersebut setakat ini.

"Namun sebanyak 15 buah kedai di Sabah telah dimodenkan bagi meningkatkan daya saing yang lebih kompetitif," tambahnya.

Menurut Rohani, peruncit yang ingin menyertai program itu boleh memohon pinjaman sehingga RM60,000 daripada Bank Rakyat dengan kadar caj perkhidmatan sebanyak tiga peratus bagi tempoh bayaran balik selama 15 tahun.

"Program ini juga dilaksanakan dengan kerjasama pasar raya besar tempatan dan asing sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat terbabit dalam membangunkan peruncit di Malaysia," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain