suria

Adakah Wong Soon Koh Undur Dari Bertanding Jawatan Presiden SUPP

KUALA LUMPUR: Keputusan Menteri Tenaga, Teknologi, Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bertanding jawatan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah pasti meletakkan Datuk Seri Wong Soon Koh dalam keadaan serba salah mengenai susulan percaturan politiknya.

Wong, seorang menteri negeri Sarawak dan timbalan setiausaha agung SUPP, merupakan orang pertama mengumumkan sebagai calon presiden pada pemilihan parti itu Disember ini tetapi sumber dalaman parti menyatakan keputusan itu tidak disenangi oleh beberapa pihak dalam parti itu.

"Itu menjelaskan mengapa lima cawangan dari Kuching berjumpa dengan Chin dan memujuk beliau bertanding jawatan presiden. Chin lebih disenangi kerana dilihat sebagai pemimpin yang berkecuali dan inklusif," kata seorang pemimpin parti dari Kuching yang enggan dikenali.

Chin merupakan setiausaha penganjur parti SUPP.

Pemimpin parti tersebut itu menjelaskan bahawa cawangan SUPP dari Kuching, Serian dan Sri Aman atau lebih dikenali sebagai zon selatan, menguasai bilangan perwakilan terbesar iaitu kira-kira 250 daripada jumlah 600 perwakilan.

Kira-kira 100 perwakilan adalah dari Sibu dan kawasan sekitarnya atau lebih dikenali sebagai zon tengah dan bakinya dari zon utara iaitu dari Miri, Bintulu dan Limbang.

"SUPP mengamalkan sistem pemilihan dua tingkat. Kesemua 600 perwakilan pada mulanya memilih 130 ahli jawatankuasa pusat. Kemudian 130 ahli jawatankuasa pusat itu akan memilih jawatankuasa kerja pusat atau pemegang jawatan termasuk presiden parti.

"Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Chin akan meraih kebanyakan undi berikutan beliau sudah mendapat kebanyakan undi dari zon selatan dan utara," kata pemimpin itu.

Sumber dalam parti berkata kebanyakan ahli dari Kuching mahu Chin menjadi calon presiden kerana beliau dianggap lebih inklusif dan berkecuali dan ini jelas terbukti semasa sesi talkimat kepada perwakilan parti di Kuching sebelum Chin mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden Ahad lalu.

Ramai yang menghadiri sesi taklimat itu berkongsi pandangan Chin bahawa perlu ada had tempoh kepada mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan dan jawatan lain seperti menteri, timbalan menteri, Anggota Parlimen, wakil rakyat dan juga ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

"Paling penting, Chin telah menyatakan bahawa beliau akan hanya memimpin parti itu untuk tempoh satu penggal (tiga tahun) sebagai tempoh peralihan bagi membolehkan orang muda mengambil alih kepimpinan parti," katanya.

Berikutan itu, ada yang percaya bahawa Soon Koh akhirnya akan berkompromi dengan menarik diri dari bertanding jawatan presiden dan sebaliknya menerima jawatan lain bagi mengekalkan kedudukannya dalam parti.

"Tidak sangsi lagi Soon Koh tidak akan hilang jawatan menteri dalam kerajaan negeri biarpun sekiranya beliau gagal mendapatkan jawatan presiden.

"Bagaimanapun sekiranya beliau menjadi ahli biasa dalam jawatankuasa pusat tanpa sebarang kedudukan, maka sukar untuk beliau menjadi calon pada pilihan raya umum nanti," kata seorang pemimpin dari cawangan Sibu.

Bagaimanapun, Dr James Chin, seorang penganalisis politik dari Universiti Monash, berkata tidak kemungkinan Soon Koh akan berundur kerana saingan untuk jawatan presiden SUPP berkisar antara dua kuasa politik berpengaruh.

Ketika dihubungi, Soon Koh, berkata beliau tidak mempunyai hasrat untuk menarik diri kerana mahu perwakilan diberi peluang untuk membuat pilihan.

"Biar perwakilan parti memutuskan. Apa yang saya ingin katakan di sini ialah ada pemimpin yang sebelum ini mengumumkan beliau (Soon Koh) tidak akan bertanding tetapi kemudian membuat pusingan U dan kini berkata beliau akan bertanding," katanya tanpa menamakan pemimpin berkenaan.

"Kami perlu membuktikan kepada rakyat bahawa kami adalah serius tentang perubahan dan melakukan rombakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain