suria

14 Barangan Terkawal Sempena Deepavali

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Isnin mengumumkan penetapan harga maksimum bagi 14 jenis barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 26 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penetapan harga itu akan dikuatkuasakan selama 10 hari bermula Jumaat ini.

Senarai barang tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, tomato, bawang merah kecil (India), ubi kentang import (China) dan kacang dhal (Australia).

"Harga maksimum ini ditentukan berdasarkan kepada maklumat pemantauan harga di semua daerah atau kawasan bermula Januari sehingga September lalu.

"Selain itu, penetapan harga itu turut mengambil kira pandangan pelbagai agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barang tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Isnin.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barang harga terkawal dan menjualnya mengikut harga maksimum.

"Namun peniaga digalakkan untuk menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah," tambahnya.

Ismail Sabri berkata, sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi peniaga yang gagal mempamer tanda harga berwarna merah jambu, mereka akan didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000," katanya.

Jelas beliau, beberapa pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga akan ditempatkan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani.

"Tindakan ini akan dilakukan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada menjadi mangsa aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain