suria

Yang Di-Pertuan Agong Anugerah Darjah Kebesaran Kepada 241 Penerima

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 241 penerima sempena ulang tahun Hari Keputeraan Seri Paduka.

Mendahului senarai penerima pada istiadat di Balairong Seri, Istana Negara itu, ialah Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Leonard Linggi yang dianugerahi darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Turut menerima PSM ialah Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Tan Sri Omar Din Mawaidin.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noriyah Ahmad menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Turut menerima PJN ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datuk John Sikie Anak Tayaii, Anggota Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Penggaram Datuk Koh Chee Chai, Pengarah Institut Perubatan Molekul, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr A.Rahman A.Jamal, dan Pengarah Urusan LH Cheng and Associates, Datuk Cheng Lai Hock.

Yang lain ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Penarafan Malaysia Datuk Dr Govindan Kunchamboo, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara Datuk Dr Abdul Shariff Hamid, Pengurus Akaun Shell (M) Datuk Mohanadas Nagappan Ketua Pegawai Eksekutif Wira Ukur Consultant Datuk Hanafi Mamat dan Pengarah Urusan Swoft-Bird Sdn Bhd Datuk Ng Siew Lai.

Pengarah Urusan Kawaguchi Development Sdn Bhd Datuk George Chee Ching Wang pula dikurniakan Panglima Jasa Negara (Kehormat) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Seramai 16 orang menerima darjah Johan Setia Mahkota, seorang menerima darjah Johan Setia Diraja, 24 orang menerima darjah Kesatria Mangku Negara, seorang menerima Kesatria Setia Diraja dan 109 menerima Ahli Mangku Negara.

Ketua Unit Foto BERNAMA Mustaza Mohd Yusoff adalah antara 67 orang yang menerima Pingat Pangkuan Negara manakala 10 orang menerima Bentara Setia Diraja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain