suria

Adunan Muka Baru & Lama Relevan Untuk Hadapi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Penonjolan lebih banyak muka baru selain mengekalkan calon berpengalaman yang masih mampu menang mungkin menjadi elemen penambahbaikan paling relevan dalam formula pengagihan kerusi bagi parti-parti komponen Barisan Nasional yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN baru-baru ini.

Secara logiknya, penambahbaikan itu akan menyaksikan perubahan daripada segi bilangan kemasukan muka baru sebagai calon yang lebih banyak, selari dengan Program Transformasi Politik yang pelopori Najib, sekaligus memberi petanda kesediaan pimpinan sedia ada untuk mematangkan golongan pelapis.

Menurut pensyarah sains politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Shahrudin Badarudin, formula itu bagaimanapun tidak akan lari jauh daripada kaedah pembahagian kerusi yang telah diguna pakai sekian lama, kerana itu simbol dan teras kekuatan muafakat antara parti komponen BN.

Beliau berkata Najib boleh mengurangkan atau menambah kerusi kepada mana-mana parti atas teras 'mampu menang' itu tetapi tidak akan mengambil risiko mengurangkan atau menambah terlalu banyak kerusi bagi sesuatu parti walaupun ini boleh berlaku jika semua pihak berkompromi.

"Daripada segi logik muafakat kuasa, dia takkan ambil risiko. Parti-parti komponen akan dapat hampir sama banyak seperti pilihan raya umum yang lepas, tetapi isunya ialah di mana akan berlaku pertukaran kerusi," katanya kepada Bernama pada Khamis. Shahrudin berkata terdapat kemungkinan besar peratusan bilangan muka-muka baru akan bertambah bagi memastikan mereka bersedia untuk dijadikan sandaran sebagai pelapis untuk menggantikan tokoh-tokoh yang telah lama berkhidmat.

Beliau berkata berdasarkan beberapa pilihan raya kecil yang berlaku selepas pilihan raya umum yang lepas, kemungkinan besar calon-calon muka baru ini akan dinilai daripada segi umur dan kesihatan, sebagai satu daripada kriteria memilih calon berprestasi tinggi.

"Kriteria ini penting supaya tidak mengganggu kelancaran pentadbiran. Kita tak nafikan kematian itu kuasa Allah tetapi adalah penting bagi Najib untuk menilai faktor-faktor ini bagi mengelak pilihan raya kecil," katanya.

Mengenai kemungkinan calon payung terjun, Shahrudin berkata, mereka ini kadangkala diperlukan jika kawasan berkenaan panas akibat perbalahan dalaman.

"Daripada sudut calon payung terjun, akan ada pertelagahan baik daripada kalangan parti komponen mahupun di dalam sesuatu parti itu sendiri mengenai siapa yang harus dicalonkan di dalam kawasan parlimen dan dewan undangan negeri, maka akan ada calon berpotensi menang yang 'dipayungterjunkan' dari kawasan luar dan bukan ahli politik," katanya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata calon payung terjun masih relevan dalam meraih sokongan dan memastikan kemenangan, terutama sekali ketika landskap politik yang kian mencabar.

Beliau berkata calon payung terjun daripada kalangan berpendidikan tinggi dan berpengalaman mampu memikul tanggungjawab melaksanakan tugas dengan berkesan terutamanya membantu kerajaan melicinkan usaha pembangunan.

"Kita perlu calon payung terjun dan ia tidak boleh ditolak sama sekali. Sebagai contoh, semasa saya menjadi perdana menteri, Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan) diangkat sebagai calon 'bidan terjun' kerana kita sedar dengan kemampuannya," kata Dr Mahathir.

Menyokong kenyataan tersebut, anggota pemuda Umno dari Hulu Klang yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi berkata, tidak dinafikan pertelagahan boleh menjadi antara faktor kejatuhan parti.

"Maka kita dapat lihat pada pilihan raya kecil, cubaan berani Datuk Seri Najib meletakkan calon yang muda, berpendidikan tinggi serta mempunyai latar belakang yang bersih, sehingga akhirnya membuahkan hasil apabila menerima sokongan padu masyarakat setempat," katanya.

Bagi Anggota Majlis Kerja Tertinggi Belia 4B Badrul Hisham Badrudin pula, muka-muka baru harus diberi lebih pertimbangan jika diambil kira trend beberapa pilihan raya kecil yang lepas.

Beliau berkata, trend itu turut dapat dilihat dalam pakatan pembangkang, sehingga ada antara mereka mampu menjadi Anggota Parlimen dalam usia yang cukup muda.

"Sewaktu pilihan raya kecil yang lepas, calon-calon muda ini mendapat sokongan rakyat setempat kerana mereka mempunyai kredibiliti dan juga memenuhi kriteria sebagai 'winnable candidate' (calon mampu menang).

"Sama ada pembaharuan ini dapat diterima penuh dengan hati terbuka oleh pemimpin atasan tak kira daripada mana-mana parti komponen, saranan PM berulang kali mengingatkan bahawa kita harus bersatu dan jangan sabotaj sesiapa saja yang akan dicalonkan," katanya.

Badrul Hisham melihat formula yang ditambah baik oleh Najib itu kelak mampu merangsang generasi muda lebih aktif mencurah bakti kepada masyarakat dan dapat menyaksikan hakikat bahawa BN siap sedia membuka peluang lebih besar kepada mereka dalam proses transformasi negara. -BERNAMA

Artikel Lain