suria

HALFEST Catat 287 Sesi Padanan Perniagaan & 122 Potensi Peluang Pembekal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 287 sesi padanan perniagaan dan 122 potensi peluang pembekal berlangsung pada seminar mengenai Sesi Padanan Perniagaan dan Hubungan Dagangan anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Seminar berkenaan dianjurkan bersempena Halal Fiesta Malaysia (HALFEST 2011) pada 14 Oktober di sini, demikian menurut HDC dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Semasa sesi padanan itu, HDC mempelawa 11 syarikat utama daripada empat sektor utama iaitu runcit, hotel, penerbangan dan perdagangan.

Seminar itu khusus untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam perniagaan produk halal, kata HDC.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata acara berkenaan bertujuan untuk membantu PKS mengukuhkan pasaran produk halal mereka melalui program yang disediakan oleh HDC, seperti Program Transformasi Perniagaan.

Syarikat yang mengambil bahagian ialah Giant, Mydin, Aeon (Jusco), Malaysia Airlines, AirAsia, Glocal Link, Penang Port, manakala hotel yang menyertai termasuk Concorde, De Palma, Nouvelle dan Angkasa.

Sejumlah 80 PKS mengambil peluang untuk mempamerkan produk dan keunikan mereka pada acara tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain