suria

Jurubahasa Mahkamah Didakwa Pecah Masuk Mahkamah Dan Curi

SHAH ALAM: Seorang jurubahasa mahkamah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan memecah masuk sebuah Mahkamah Sesyen di sini dan mencuri beberapa barangan melibatkan kerugian RM8,000 pada Ahad lepas.

Hamdan Yahaya, 32, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa memecah masuk Mahkamah Sesyen Jenayah 7 dengan menggunakan kunci pendua dan mencuri satu unit komputer riba jenama Dell Vostro, satu unit CPU Dell berwarna hitam, satu unit monitor komputer berwarna hitam, satu unit televisyen LCD 32 inci jenama LG dan satu blazer hitam jalur kecil milik seorang lagi jurubahasa mahkamah, Norikhwan Mohamed Yusof, 26.

Hamdan didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 7, Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Persiaran Pegawai, Seksyen 5 di sini, kira-kira 6 pagi pada 9 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zara Aina Mohd Zawawi, yang mengendalikan pendakwaan, mencadangkan Hamdan dibebaskan dengan jaminan RM3,500.

Peguam Muhammad Hidhir Mustapa yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,200 kerana anak guamnya berasal dari keluarga susah.

Majistret Nurul Syahida Zainal kemudian membenarkan Hamdan dibebaskan dengan jaminan RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Nov depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain