suria

Bekas Ketua Umno Kubang Kerian Bebas Tuduhan Menipu

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian Mat Zin Awang, pada Selasa, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan terhadap tuduhan menipu seorang pengurus besar syarikat sebanyak RM10,000, 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Mat Zin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Gua Musang yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan itu.

Hakim Abdul Malik dan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki membenarkan rayuan Mat Zin, yang sekarang merupakan ahli perniagaan, manakala Datuk Azhar Ma'ah menolak rayuan itu.

Mat Zin, yang juga bekas pengerusi eksekutif Kesedar Perkilangan Sdn Bhd, didakwa memperdayakan Rosdy Abd Rahman untuk menyumbangkan RM10,000 kepada tabung Umno Bahagian Kuala Krai, dengan mendakwa ia diminta oleh ketua bahagian Datuk Wan Zaid Wan Abdullah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bazar Gua Musang antara 3 Februari dan 8 Februari, 2000.

Pada 4 April 2004, Mahkamah Sesyen Gua Musang mendapati Mat Zin bersalah terhadap tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun.

Dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di mana pada 11 Ogos tahun lepas telah menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Apabila diminta mengulas berhubung keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, Mat Zin, yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Mohd Bukhari, berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu yang telah membersihkan nama dan imej beliau serta keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi bertindak bagi pihak pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain