suria

UPP Patahkan Cubaan Seludup Diesel

PADANG BESAR: Sebuah stesen minyak di Perlis dipercayai membekalkan 1,000 liter diesel kepada sebuah kereta Proton Wira yang diubah suai sebagai kenderaan pengangkut minyak.

Komander Kawasan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar, ASP Noor Janihan Nanyan berkata perkara itu terbongkar apabila pihaknya menumpaskan cubaan menyeludup diesel bersubsidi ke Thailand pada Rabu.

Menurutnya, UPP Padang Besar yang melakukan rondaan mencegah penyeludupan telah terserempak dengan kenderaan itu yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan perindustian Padang Besar kira-kira pukul 5.10 petang.

"Setelah menyedari diekori UPP, pemandu kenderaan itu memecut kenderaannya menghala ke pekan Padang Besar tetapi dapat ditahan di Kampung Melayu yang tidak jauh daripada kawasan sempadan," katanya kepada pemberita di sini malam Selasa.

Noor Janihan berkata hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang cukai jalannya telah tamat tempoh itu, mendapati terdapat tangki minyak tambahan di tempat duduk belakang dan di dalam but kenderaan itu yang dipercayai mampu mengisi sehingga 1,000 liter diesel.

Beliau berkata penyeludup itu seorang penduduk tempatan berusia 29 tahun telah ditahan dan kes berkenaan diserah kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Nilai diesel iaitu ialah RM1,800 sementara dua tangki yang dibina dalam kenderaan itu bernilai RM3,000.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan lelaki itu, bekalan diesel bersubsidi itu diperolehi daripada sebuah stesen minyak di Kangar.

"Bagi mengelakkan kegiatannya diketahui, lelaki itu memasang cermin gelap pada kenderaannya supaya tangki minyak di bahagian tempat duduk belakang itu tidak kelihatan dari luar.

"Dia juga mengambil kesempatan menggunakan kenderaan Malaysia bagi membeli minyak secara mudah di mana-mana stesen selain berpakat dengan atendan pam minyak untuk mendapatkan bekalan dalam jumlah yang banyak sekali gus," kata Noor Janihan.

Sementara itu di Bukit Kayu Hitam, UPP Kedah menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba memasuki sempadan negara dengan kenderaan di Kampung Padang Satu pada Selasa.

Mereka terdiri daripada seorang wanita yang berusia 35 tahun, anak perempuannya yang berusia 8 tahun dan dua adik lelaki wanita berkenaan yang berusia 23 dan 25 tahun yang bersembunyi di dalam bonet kereta itu.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, UPP turut menahan seorang warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu kenderaan tersebut.

Timbalan Komander UPP Kedah, Noor Mohamed Sheikh Alaudin berkata Pati berkenaan dalam perjalanan ke Changlun.

"Bagaimanapun dua lagi lelaki warga asing di dalam kenderaan itu berjaya meloloskan diri ke hutan berdekatan." katanya.

Mereka dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand untuk datang bekerja.

Beliau berkata lelaki tempatan berusia 24 tahun itu dikatakan menerima upah antara RM20 hingga RM50 bagi sekali perjalanan membawa pendatang masuk.

Noor Mohamed berkata lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 55 A(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000 atau penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang daripada enam sebatan. -BERNAMA

Artikel Lain